Kerajaan kaji mekanisme kawal selia syarikat OTA

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti keperluan mewujudkan mekanisme kawal selia terhadap operasi syarikat Ejen Pelancongan Dalam Talian (OTA).

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata ini berikutan ketika ini tiada sebarang undang-undang atau peraturan yang mengawal selia syarikat OTA di negara ini.

- Advertisement -

Katanya, kawal selia terhadap syarikat OTA bukan sahaja bagi memastikan kualiti perkhidmatan premis penginapan yang baik, malah boleh dijadikan sebagai kerjasama antara kementerian dan pemegang taruh untuk meningkatkan industri ini ke tahap yang lebih baik.

“Penelitian ini antara lain sudah pasti melihat isu kadar komisen yang dikenakan oleh syarikat OTA terhadap premis penginapan. Namun kita perlu objektif dalam menimbang perkara ini.

“Pelbagai faktor perlu diambil kira dalam memutuskan suatu dasar seperti kuasa pasaran menyokong pembangunan digitalisasi serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk membolehkan sesebuah syarikat terus berminat beroperasi di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya adakah kementerian bercadang untuk menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA.

Ini berikutan kadar yang dikenakan oleh OTA ketika ini ialah antara 12 hingga 18 peratus bagi setiap harga bilik amat membebankan pengusaha hotel dan rumah tumpangan, terutama ketika musim pandemik Covid-19 yang menyebabkan kos operasi meningkat.

Nancy berkata, perkara ini bukan hanya menyentuh bidang kuasa MOTAC, malah membabitkan kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Setakat ini, katanya kerjasama antara OTA dan premis penginapan pelancong seperti hotel melibatkan transaksi dengan pengguna adalah persetujuan terma antara pihak terbabit sahaja.

Katanya, ini termasuk kadar penetapan komisen yang kini berdasarkan persetujuan perniagaan bagi kedua-kedua pihak antara OTA dan premis penginapan pelancongan. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -