Pelajar hargai bantuan Muslimat PAS Sabah

- Advertisement -

Oleh NURUL JANNAH ABDULLAH

KUDAT:
Penerima bantuan bagi melanjutkan pengajian ke Mesir menghargai sumbangan Dewan Muslimat PAS Sabah (DMPNS) dengan kerjasama PAS Kudat.

Nur Issham Utoh, 23, bersyukur kepada Allah dan mengucapkan terima kasih atas usaha DMPNS membantunya.

- Advertisement -

Lepasan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah itu adalah salah seorang daripada sepuluh penerima sumbangan yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir hujung bulan ini.

“Saya berasal dari Kudat, anak pertama daripada lima beradik. Semua sudah bersekolah.

“Ayah saya bekerja sendiri menjual madu. Sepanjang pandemik alhamdulillah masih ada rezeki untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

Sumbangan wang tunai bernilai RM2,120 telah disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Nemrone Loveh di pejabat PAS Kawasan. Turut hadir ialah Ketua Lajnah Perhubungan NGO PAS kawasan, Ahmad Kapok.

Sembilan lagi penerima masing-masing daripada kawasan Sandakan, Tawau, Papar, Tambunan, Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Putatan terdiri daripada anak yatim, asnaf dan keluarga yang kurang berkemampuan.

Terdahulu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPNS telah mengadakan kutipan sumbangan bagi menampung kos perbelanjaan 10 pelajar dan setakat ini sebanyak RM22,721 telah berjaya dikumpul. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -