Setiap kendiri perlu proaktif kawal risiko penularan

Transisi pandemik ke endemik perlu teratur dan sistematik

- Advertisement -

ASSALAMUALAIKUM W.B.T. Apa khabar semua? Diharapkan agar anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat sambil beristirehat di hujung minggu. Mungkin ada di antara kita yang keluar beriadah dan makan di restoran memandangkan semakin banyak sektor ekonomi dan sosial yang sudah dibuka, terutamanya kepada mereka yang telah menerima suntikan lengkap vaksinasi COVID-19.

Kita sudah pun melangkah ke bulan Oktober, dan sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 PPN. W.P Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4.

- Advertisement -

Sehingga 2 Oktober 2021, sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan kita sebelum ini. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini. 

Kita juga semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Sepertimana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus. 

Berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

Namun, suka saya ingatkan, kita masih perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus COVID-19 ini telah pun berada di dalam komuniti. Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik. 

Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat. Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.

Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19. Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu. Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara. 

Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama #KeluargaMalaysia.

“Prihatin Rakyat”
“KeluargaMalaysia”

YB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara – HARAKAHDAILY 4/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/420051606145700/posts/423531965797664

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -