Kerajaan rangka pelbagai strategi tangani pengangguran

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) dengan sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan, sekali gus dapat mengurangkan jumlah penganggur yang kini hampir mencecah 800,000 orang.

Laporan Survei Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan mendapati kadar pengangguran di Malaysia setakat Jun lalu adalah sebanyak 4.8 peratus atau seramai 768,700 orang.

- Advertisement -

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata jumlah penganggur meningkat sebanyak 9,500 orang pada Julai, menjadikan keseluruhan penganggur seramai 778,200 orang.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama bagi Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan.

“Pasukan ini penting dalam menyokong peranan MPN melalui beberapa objektif utama, iaitu meningkatkan penciptaan pekerjaan, memaksimumkan tahap pengekalan pekerjaan, membuat padanan pekerjaan secara komprehensif dan mengkaji serta merangka mekanisme perlindungan keselamatan sosial bagi pekerjaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.

Saravanan berkata setakat 31 Ogos lalu, pasukan petugas itu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 98 peratus apabila 359,677 daripada sasaran 367,500 bagi penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan.

Selain itu, katanya kerajaan memperkenalkan pelbagai program bantuan dan pakej rangsangan yang berupaya membantu rakyat mendapatkan pekerjaan.

Katanya, antara pakej bantuan itu ialah Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa); Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Sementara itu, katanya KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum, terutama graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Elaun sekurang-kurangnya RM300 diberi apabila mereka mendaftar di bawah platform MyFutureJobs,” katanya.

Melalui peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta, katanya skop insentif diperluaskan meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig yang memanfaatkan 60,000 pekerja dan majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek atau platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO.

Menurut Saravanan, kerajaan juga memperuntukkan RM125 juta untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah Program Janapreneur Pembangunan Sumber Manusia Bhd.

Katanya, inisiatif ini membuka peluang kepada 30,000 orang, terutama belia lepasan sekolah dan graduan untuk mengikuti program latihan dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.

“Kementerian juga berusaha meningkatkan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platfom seperti program UpskillMalaysia di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 562 buah Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA),” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/21

- Advertisement -