Adakah Islam larang wanita jadi pemimpin?

- Advertisement -

ISLAM adalah agama rahmatan lil alamin. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup dalam Islam supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Begitulah kehadiran Islam untuk membaiki darjat dan perlakuan manusia terhadap wanita. Allah SWT dalam Al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki. Wawancara Penyunting NORHANA MAT ZIN bersama YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH.

- Advertisement -

HARAKAH: Ustazah, apakah kita mahu menolak ketokohan dan kemampuan seseorang dalam kepimpinan dalam sesebuah pentadbiran hanya semata-mata kerana dia seorang wanita?

USTAZAH NURIDAH: Kalau kita melihat kepada sejarah perjuangan Islam sejak daripada, zaman Nabi Muhammad s.a.w dan juga para Khulafa Ar-Rasyiddin, para pemimpin umat Islam yang lainnya, tentunya jawapan kepada pertanyaan tadi benarkah Islam melarang kepimpinan wanita tentunya jawapannya, tidak. Hal ini kerana sejarah telah pun mengemukakan ramai tokoh-tokoh wanita yang mengharungi sejarah perjuangan Islam yang juga merupakan susuk tubuh kepimpinan yang terdiri daripada wanita.

Pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu lagi, terdapat segelintir wanita yang telah menceburkan diri dalam bidang yang setaraf dengan kaum lelaki. Boleh ustazah perincikan lagi persoalan ini?

Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, Sayidatina Khadijah binti Khuwailid. Ia adalah merupakan seorang tokoh perniagaan, cemerlang dalam bidang perniagaan khususnya sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Selepas berkahwin dengan sifat keberaniaannya, Sayidatina Khadijah tampil sebagai manusia pertama beriman dan menjadi pembela perjuangan Rasulullah s.a.w. Ini tidak dapat dinafikan oleh sejarah dunia.

Kemudian, begitu juga dengan Sayidatina Aisyah binti Abu Bakar. Isteri Rasulullah s.a.w. yang terkenal sebagai pemimpin keilmuan semasa hayatnya. Beliau seorang kepercayaan Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi tempat rujukan para sahabat lelaki dan wanita menuntut ilmu dan berguru dengannya. Sayidatina Aisyah terkenal dengan keilmuannya. Terkenal dengan orang yang pertama yang telah membuka sekolah pada masanya. Beliau bukan sebarangan wanita pada masa itu. Begitu juga sahabiyah iaitu Nusaybah binti Ka’ab. Beliau terkenal dengan keberaniannya di medan tempur iaitu melindungi Rasulullah s.a.w di mana sahaja berada.

Namun, mungkin ada juga orang yang cuba mengaitkan halangan Islam tidak membenarkan wanita memimpin. Antaranya, mereka menggunakan ayat dari surah An-Nisaa’: ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah kaum pemimpin kepada wanita. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Kemudian ada juga yang mengaitkan daripada surah Al-Baqarah: ayat 228 yang bermaksud: “Wanita itu mempunyai hak sama seperti mempunyai tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan baik. Dan lelaki mempunyai kelebihan darjat ke atas mereka”.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jamek menyatakan bahawa perkataan darjat membawa maksud kelebihan dan keistimewaan kaum lelaki daripada sudut kekuatan fizikal, akal dan ketegasan yang menjadi tonggak kekuatan dalam urusan pemerintahan.

Kemudian, ada lagi satu yang dikaitkan dengan sabda Rasulullah s.a.w. di mana baginda pernah bersabda, tentang anak perempuan Kisra iaitu Buran yang menjadi Raja Parsi selepas kematian ayahandanya. Seperti diriwayatkan  daripada Abu Baqra, beliau berkata setelah Rasulullah s.a.w. mendengar orang Parsi melantik anak perempuan Kisra menjadi pemimpin mereka, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda tidak akan mencapai kejayaan selama-lamanya sesuatu kaum yang melantik wanita untuk memimpin urusan mereka.   

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud binasalah kaum lelaki apabila mentaati perempuan-perempuan mereka. Diulang-ulang sebanyak tiga kali. Persoalannya, adakah Islam melarang mutlak wanita menjadi pemimpin?

Ulamak fiqh telah membahaskan hal ini dan mereka telah memberikan kepimpinan ini kepada dua bahagian.

Yang pertama adalah wilayah ammah, iaitu tampuk kepimpinan yang sangat luas dan tertinggi seperti jawatan ketua nombor satu sesebuah negara atau khalifah.

Kemudian kepimpinan dari sudut wilayah khas iaitu tampuk kepimpinan di peringkat kecil dari jawatan-jawatan tertinggi dalam sesebuah negara. 

Majoriti ulama berpendapat, larangan nas tadi hanya pada Wilayah Ammah iaitu yang memilih kepimpinan tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Manakala wilayah khas tidak dilarang bahkan diharuskan. Islam tidak membenarkan wanita berada di tampuk tertinggi negara. Antara sebabnya, ia merupakan penghormatan Islam untuk tidak membebankan dan memberatkan wanita yang mana tidak ada pada kaum lelaki iaitu mengandung dan melahirkan.

Ia juga tidak menghalang wanita bersama-sama dalam soal kepimpinan. Jadi, ia bukan menidakkan hak tetapi untuk memberikan maslahat atau faedah dan mengelakkan bencana yang mendatang. Kepimpinan tertinggi itu meliputi keseluruhan iaitu lelaki dan wanita. 

Di Malaysia, adakah Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah menyekat penglibatan kaum hawa yang mempunyai ketrampilan yang tinggi untuk terlibat dalam memegang jawatan penting dalam bidang kepimpinan? Apa pandangan ustazah?

Bagi Parti Islam Se Malaysia (PAS) tidak melarang wanita menjadi calon di peringkat parlimen dan dun. Di sini ada kaedah kerana kalau kita lihat pengundi-pengundi lelaki dan wanita di negara kita sudah hampir sama jumlahnya. Bahkan, ada di sesetengah parlimen, pengundi wanita lebih ramai berbanding lelaki. Setakat ini dalam beberapa PRU terkini, PAS telah meletakkan calon-calon daripada kalangan muslimat. Apa yang diharapkan pada masa akan datang, mungkin calon muslimat itu perlu diramaikan lagi kerana ramainya pengundi-pengundi yang terdiri dari kaum muslimat.  

Ustazah, bagaimana tindakan yang seharusnya ada pada seseorang wanita yang terlibat dalam kepimpinan menghadapi cabaran-cabaran di alam dunia ini?

Kepimpinan wanita dan cabaran-cabaran yang perlu ditempuh iaitu adalah merupakan suatu fitrah dalam kehidupan sementara ini. Banyak cabaran-cabaran yang perlu dihadapi tidak kira wanita dan lelaki. Hidup ini adalah pentas ujian daripada Allah SWT. Antara cabaran yang terpaksa dihadapi adalah cabaran hawa nafsu dan kebendaan, cabaran ugutan dan ancaman, cabaran yang berterusan dan akhirnya melibatkan cabaran peribadi yang melibatkan keluarga dan diri sendiri.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Adakah kamu menyangka bahawa kami dengan mudah akan masukkan kamu ke syurga, padahal kamu belum diuji oleh Allah SWT. Siapakah antara kamu yang berjuang dan sabar.“ (Surah Al-Imran: Ayat  142)

Mudah-mudahan Allah SWT kurniakan kekuatan kepada kita untuk melalui kehidupan ini dengan penuh kesabaran. Kita perlu ingat ujian di atas dunia adalah sementara, tetapi kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT di akhirat kelak akan kekal berpanjangan 

Kepimpinan wanita dalam gerakan Islam dalam zaman moden ini seperti yang kita selalu dengar Kisah Zainab al-Ghazali dalam memperjuangkan gerakan lkhwan al-Muslimin. Beliau sanggup menghadapi semua cabaran dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Moga kisah Zainab ini sentiasa merangsang kita untuk melaksanakan perjuangan ini dengan penuh ketaqwaan dan kesabaran.

Sekiranya seseorang wanita itu telah dilantik menjadi seorang pemimpin, apakah perkara-perkara yang perlu wanita itu titikberatkan dalam kehidupan agar apa yang dilakukan itu sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT?

Kesimpulannya, kepimpinan wanita dalam Islam sebenarnya senantiasa diperlukan pada setiap masa dan tempat. Bagi memenuhi tuntutan syarat, skop dan peranan pergerakan wanita merangkumi semua bidang yang menjadi keperluan hidup manusia, iaitu ilmu pengetahuan, ekonomi, pelajaran, kemasyarakatan dan lain-lain.

Semua kegiatan perlu berlandaskan kepada hukum syarat. Kita tidak boleh lari, sebab manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan bermatlamat. Pembahagian tugas menurut Islam antara lelaki dan wanita adalah berdasarkan kepada persediaan bakal dan diri atau fitrah kedudukan wanita menurut Islam adalah terjamin kemuliaannya, kehormatan, peribadi dan sifatnya. Insya-Allah.

Dari segi balasan daripada Allah SWT antara lelaki dan wanita, pemberian ganjaran adalah sama di akhirat kelak walaupun bebanan kerja berlainan. Kemudian seorang pemimpin antara lelaki atau wanita mesti mempunyai keperibadian yang tersendiri daripada orang-orang yang dipimpinnya.

Keperibadian yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w telah menjadikan contoh kepada manusia untuk tunduk kepada Allah SWT. Ini merupakan satu cabaran kepada kita. Kita kena perhatikan dan perhalusi tentang akhlak kita. Kita mengharapkan peribadi kita menjadi contoh untuk merapatkan diri kita dan orang lain kepada Allah SWT.

Seorang pemimpin perlu bersedia dengan setiap cabaran dan revolusi. Ibarat pepatah melayu “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -