RMK12: PAS Sabah gesa kerjasama semua pihak

Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menggesa agar semua pihak saling bekerjasama bagi merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Setiausaha PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, bagi merealisasikan hasrat besar RMK12, kerjasama harus digerakkan secara bersama-sama melibatkan ahli politik, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, kakitangan awam persekutuan dan negeri, pihak swasta dan seterusnya masyarakat.

- Advertisement -

Menurutnya, strategi yang digariskan bagi mencapai bidang keutamaan menerusi RMK-12 adalah sesuatu yang realistik bagi negeri Sabah.

“Sehubungan itu, perkara yang paling penting dalam merealisasikan hasrat besar RMK-12 ialah kerjasama daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, menetapkan hala tuju strategik berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’.

RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 merangkumi sembilan fokus utama, iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam dan membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Turut menjadi fokus utama ialah memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.

Dalam pada itu Aliakbar berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan RMK-12  berkenaan yang telah dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen.

“Pada saya, semua bidang keutamaan yang dinyatakan dalam pembentangan tersebut iaitu memantapkan penyediaan infrastrukur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, memperkukuh pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama di antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri sangat tepat dan sangat sesuai untuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -