Benih kenaf terbaik dihasil di Kedah, Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Benih kenaf dianggap terbaik dapat dihasilkan di Kedah dan Perlis memandangkan kedua-dua negeri tersebut mengalami musim kemarau yang agak panjang.

Bertitik tolak daripada situ, Pengerusi Koperasi Satu Harakah, Nasir Nyan meneroka tanaman kenaf yang dapat menghasilkan serat dan mempunyai potensi besar dalam pelbagai industri.

“Idea penanaman kenaf bermula ketika lawatan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komuditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semasa lawatannya ke Perlis sebelum ini.

- Advertisement -

“Tambahan pula, tanaman ini akan menjadi sumber tanaman baharu negara kerana dapat menghasilkan keuntungan sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 sehektar,” katanya ketika ditemui pada perasmian penanaman kenaf di Lembah Chuping, semalam.

Perasmian tersebut disempurnakan Pengarah LKTN Perlis, Mohammad Nazri Ramli. Turut hadir Timbalan Pengarah Surahanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Arif Asyraf Muhammed Khalim.

Menurut beliau kawasan seluas 20 hektar disewakan kepada koperasi tersebut bagi menghasilkan biji benih kenaf untuk dieksport ke negeri lain.

“Proses penanaman akan diselia sepenuhnya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bermula daripada proses tanam sehingga menuai.

“Buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat. Jadi kita berusaha menghasilkan sendiri benih untuk dipasarkan,” ujarnya.

Tanaman kenaf berasal dari Afrika boleh tumbuh antara lima hingga enam meter dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas ditanam.

Ia mempunyai banyak kegunaan seperti bio komposit iaitu untuk menghasilkan bahan binaan, komponen bahan kereta dan perabot, pulpa dan kertas, tekstil dan sebagai bahan makanan ternakan.

Kenaf berupaya menjadi lubuk emas kerana masih belum diteroka sepenuhnya di negara ini. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -