RMK12 mampu memacu pembangunan keusahawanan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Di Kelantan terdapat kira-kira 15,000 usahawan yang berdaftar dengan Majlis Pembangunan Usahawan di mana ada antaranya terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Usahawan, Saiful Adli Abu Bakar berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk pembiayaan mudah dan latihan bagi memperkasakan golongan tersebut selepas pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Katanya setiap bantuan kepada golongan terbabit memerlukan pemantauan berkala bagi memastikan aktiviti mereka berjalan seperti dirancang.

“Pembiayaan mudah melibatkan agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), SME Corp, Mara dan sebagainya.

“Agensi terbabit kena maklum kepada kerajaan negeri melalui Majlis Pembangunan Usahawan untuk memastikan permohonan mendapatkan bantuan lebih mudah,” katanya di sini.

Saiful Adli yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri berkata usahawan terbabit juga menerima tempias pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya kesan RMK12 boleh dilihat dalam tempoh setahun dua bagi memacu pembangunan keusahawanan.

“Jadi kerajaan kena memantau sejauh mana keberkesanannya setiap tahun dalam tempoh lima tahun kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana khususnya di Kelantan.

“Kalau tidak, maka tidak akan tercapai maksud kita untuk memperkasakan usahawan dengan pelbagai bantuan dan insentif yang diberikan kerajaan untuk mempertingkat bidang keusahawanan,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12 memberi tumpuan antaranya merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuhkan pemangkin pertumbuhan. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -