Pusat usah ulangi kesilapan lama terhadap Kelantan

Mohd Ariff Abdullah
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Rakyat Kelantan merakam penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menyenaraikan negeri itu menerima peruntukan infrastruktur dan utiliti asas.

Peruntukan sebanyak RM248.5 bilion disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menyediakan kemudahan tersebut.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Ariff Abdullah berkata, perdana menteri menyenaraikan beberapa projek berimpak tinggi untuk pembangunan Kelantan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dan lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai.

- Advertisement -

“Namun begitu, dua lagi jajaran lebuh raya perlu diambil perhatian kerajaan iaitu lebuh raya Jeli ke Gerik dan memanjangkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kota Bharu,” katanya di sini.

Semalam perdana menteri membentangkan RMK12 untuk tempoh lima tahun dengan tema Keluarga Malaysia, Makmur, Inklusif dan Mampan membabitkan peruntukan sebanyak RM400 bilion.

Mohd Ariff yang juga seorang pendidik berkata, Kelantan antara negeri yang masih ketinggalan dari sudut pembangunan dan kemudahan asas dibandingkan negeri-negeri lain.

Menurutnya juga Kelantan sejak sekian lama dianaktirikan kerana semangat federalisme gagal dilaksanakan dengan baik.

“Matlamat kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dengan menumpukan negeri-negeri kurang maju termasuk Kelantan patut diberikan pujian kepada perdana menteri.

“Justeru, kita berharap kerajaan persekutuan memberikan perhatian yang khusus kepada Kelantan untuk memastikan jurang pembangunan dapat diseimbang dan tidak mengulangi kesilapan terdahulu,” ujarnya.

Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Ahmad Fathan Mahmood berkata, tumpuan menyediakan infrastruktur di Kelantan dan negeri-negeri kurang maju secara tidak langsung dapat membasmi kemiskinan rakyat.

Katanya, apabila lebih banyak kemudahan asas disediakan sudah tentunya pembangunan ekonomi setempat menjadi lebih rancak.

“Lebih-lebih lagi semangat keusahawan rakyat Kelantan begitu tinggi. Dengan ada kemudahan asas lebih sempurna membolehkan mereka melebarkan lagi perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -