Faktor manusia punca utama pandu lawan arus

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 807 kes memandu lawan arus yang menyebabkan 29 orang maut, dilaporkan berlaku di negara ini sejak Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kejadian memandu lawan arus sepanjang tempoh itu juga menyebabkan 17 orang parah, 49 orang cedera ringan dan 712 kerosakan.

Advertisement

Katanya, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama nahas jalan raya, terutama yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Faktor lain menyebabkan kemalangan ialah pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah serta tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong berkata, dua punca faktor manusia ialah aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu serta sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu.

“Dalam kes berkaitan memandu lawan arus, kes demikian kebelakangan ini kerap dilaporkan berlaku akibat pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Ini amat membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan telah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 23 Oktober 2020 dan antara perubahan itu ialah meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara, terutama berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Pindaan hukuman adalah suatu bentuk pencegahan dan memupuk kesedaran supaya pemandu mematuhi undang-undang. Selain itu, nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol dalam darah yang dibenarkan juga dipinda,” katanya.

Katanya, langkah berterusan lain terus dilaksanakan membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan penguatkuasaan untuk membendung faktor manusia dalam sesuatu nahas jalan raya.

Ka Siong berkata, tindakan tegas juga bertujuan meningkatkan tahap Persepsi Untuk Ditangkap atau Perception of Being Caught (POBC) seterusnya mengubah minda dan sikap manusia untuk mematuhi peraturan jalan raya.

“Kementerian bersama JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) juga secara berterusan menilai semula aspek pembelajaran dan pengujian bagi mendapatkan lesen memandu untuk memastikan kompetensi pemandu berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata JPJ juga mengawal aspek kualiti kenderaan menerusi penguatkuasan peraturan pembinaan dan penggunaan sesebuah kenderaan motor serta peraturan pemeriksaan berkala ke atas kenderaan perdagangan.

Pada masa sama, katanya program advokasi dan kempen keselamatan juga dilaksanakan secara berterusan oleh JPJ dan MIROS.- HARAKAHDAILY 28/9/21