Pelaksanaan undang-undang Islam

Dalam negara yang tidak mengikut hukum Islam

PELAKSANAAN undang-undang Islam dalam negara yang tidak mengikut hukum Islam:

Advertisement

فَبَدَاَ بِاَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَاۤءِ اَخِيْهِ ثُمَّ اسْتَخْرَجَهَا مِنْ وِّعَاۤءِ اَخِيْهِۗ كَذٰلِكَ كِدْنَا لِيُوْسُفَۗ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ اَخَاهُ فِيْ دِيْنِ الْمَلِكِ اِلَّآ اَنْ يَّشَاۤءَ اللّٰهُ ۗنَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَّنْ نَّشَاۤءُۗ وَفَوْقَ كُلِّ ذِيْ عِلْمٍ عَلِيْمٌ

“Maka mulailah dia (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan (Piala Raja) itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami mengatur (rencana) untuk Yusuf. Dia tidak dapat menghukum saudaranya menurut undang-undang Raja, kecuali Allah menghendakinya. Kami angkat darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas setiap orang yang berpengetahuan ada yang lebih mengetahui”.”

(Yusuf: 76)

Nabi Yusuf A.S hendak mengambil adiknya lalu dia membuat helah seolah-olah adiknya mencuri. Undang-undang Kerajaan Mesir pada ketika itu tidak mengikut syariat Islam tetapi Nabi Yusuf A.S membuat helah supaya hukum mengikut syariat dilaksanakan. Ini menunjukkan kesungguhan dan kebijaksanaan Nabi Yusuf dalam melaksanakan syariat.

Kata Syekh Dr Solah Khalidi dalam kitabnya Qasas Qurani:

“Allah tidak reda Nabi-Nya menghukum saudaranya mengikut undang-undang Raja Mesir ketika itu, lalu Dia mengilhamkan supaya ditanya kepada adik beradik Nabi Yusuf apakah undang-undang kecurian dalam syariat mereka dan kemudian dilaksanakan undang-undang tersebut”.

Syariat Nabi Ya’qub pada ketika itu ialah pencuri hukumannya dia menjadi milik atau hamba kepada orang yang dia mencuri barangnya. Maka Nabi Yusuf berjaya mengambil adiknya dari abang-abangnya melalui cara ini.

Satu kisah berkenaan undang-undang pengampunan terhadap jenayah bunuh. Pemimpin tertinggi yang layak memberikan pengampunan bertanya kepada seorang Tuan Guru adakah patut dia memberikan pengampunan kepada seorang pembunuh. Jawab Tuan Guru yang berhak memberikan pengampunan kepada pembunuh hanyalah ahli keluarga si mati, jadi tanyalah mereka. Kemudian pemimpin itu bertanya kepada ahli keluarga si mati dan mereka bersetuju memberikan pengampunan, maka barulah pengampunan diberikan kepada pembunuh oleh pemimpin tersebut.

Ini satu contoh bagaimana jalan keluar bagi melaksanakan Undang-undang Syariah walaupun di atas kertas undang-undang tidak mengikut syariat Islam. Semoga kita berusaha melaksanakan Undang-undang Syariah secara langsung atau tidak langsung. 

USTAZ MOHD MAHYUDDIN MOHD YUSOFF – HARAKAHDAILY 28/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001007359719/posts/4601283859915147/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.