Andansura pantau kemajuan kerja pembaikan Jalan Gebeng

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Roadcare (M) Sdn Bhd telah memulakan kerja-kerja mengatasi masalah jalan raya yang digenangi air hingga membahayakan para pengguna Jalan Gebeng, Kuantan, di sini sejak minggu lalu.

ADUN Beserah, Andansura Rabu dalam tinjauan susulannya melihat takungan air yang terjadi sebelum ini sudah semakin berkurang dan jalan berkeadaan lebih kering, selain aliran air di saliran juga semakin lancar selepas penyelenggaraan dan pelebaran.

- Advertisement -

Beliau yang sebelum ini membawa isu tersebut kepada tindakan pihak-pihak berkaitan bagaimanapun memberitahu, masih terdapat beberapa lokasi di mana aliran airnya belum cukup memuaskan disebabkan oleh operasi kuari.

Menurut beliau, terdapat beberapa kuari yang beroperasi menjalankan kerja-kerja pembersihan bijih di mana kenderaan berat mereka turut menggunakan jalan sama, menjadikan banyak debu dan selut serta berlumpur apabila hujan. 

“Oleh itu saya sedang mempertimbang untuk bertemu dengan pihak pengurusan kuari-kuari ini bagi meminta mereka menambahbaik saliran di bawah laluan keluar masuk ke kawasan kerja kuari tersebut. 

Culvert yang digunakan selalu tersumbat tak sesuai digunakan. Sama ada saiznya tak cukup besar ataupun perlu digantikan dengan sistem longkang lain. Jadi masalah itu akan selesai kalau sekiranya semua culvert yang dilalui itu tidak tersumbat. Sebab itu kita kata pengusaha kuari kena bantu dalam menyelesaikan masalah ini. 

“Walaupun kerja-kerja ini merupakan jalan penyelesaian segera dan sementara, besar harapan saya sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan yang lebih baik kepada pengguna jalan raya,” ujarnya beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Menyentuh mengenai lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi di sepanjang laluan ini dan menjadi rungutan awam, beliau memaklumkan perkara tersebut telah beberapa kali diangkat dan diperbincangkan dengan pihak berwajib.

“Pihak Unit Elektrik JKR (Jabatan Kerja Raya) telah mengenal pasti antara isunya ialah kecurian kabel. Pemasangan semula kabel perlu dibuat bagi menggantikan kabel-kabel yang telah hilang dan rosak. Ini melibatkan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan penyelenggaraan.

“Mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian supaya kabel-kabel itu selamat daripada kes kecurian di masa hadapan,” jelas beliau.

Selain dari perkara tersebut, beliau melihat bahawa pembahagi jalan juga perlu diambil perhatian kerana kerap berlaku kemalangan pada waktu malam disebabkan antaranya oleh warna pembahagi jalan yang sama dengan warna jalan. 

“Oleh kerana gelap lampu tak ada, bila lepas saja dibaiki ataupun dibaik pulih akan kembali menjadi kotor, akan kembali disaluti selut, jadi warna dia menjadi sama dengan warna jalan raya, maka akan jadi satu bahaya kepada kereta dan pengguna.

“Pembahagi jalan tu kalau tidak diperbaiki, dari sudut keselamatannya, akan berulang lagi kemalangan, terutama bagi orang yang tak biasa lalu di situ akan duduk di tengah-tengah jalan dan melanggar pembahagi itu,” katanya lagi. 

Menurut Andansura, tindakan susulan telah dibuat dengan memasang papan tanda arah dan pantulan cahaya, namun katanya, ia tidak bertahan lama kerana papan tanda tersebut akan pudar dan dalam tempoh sebulan ianya tidak berfungsi lagi. 

“Semua masalah ini saya sendiri telah bawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah beberapa kali, cuma kekangan dari pihak JKR adalah untuk mendapatkan peruntukan jika ada kes baru dan sebagainya. 

Insya-Allah perkara ini saya akan follow-up seterusnya dan akan membantu untuk memastikan ianya sentiasa diikuti oleh pihak jabatan dan kita akan berusahalah memperbaiki kelemahan ataupun kerosakan yang ada.

“Saya rasa dah hampir tiga atau empat tahun projek ini berada dalam perancangan dan telah diluluskan bajetnya, cuma proses tender ada masalah teknikal dan sebagainya. 

“Maka saya harapkan agar pengguna-pengguna jalan raya tersebut dapat bersabar sedikit sehingga projek naik taraf jalan itu benar-benar boleh mampu menyelesaikan secara total

“Cuma tunggu masa perlaksanaan sahaja,” terangnya memaklumkan projek untuk dinaik taraf jalan tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -