Semua orang merindui sungai jernih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sungai merupakan anugerah besar Allah Taala kepada manusia, kata Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, sungai merupakan satu kurniaan Allah Taala kepada makhluk-Nya sehingga apabila Allah menyebut syurga, maka Allah akan pasti menyebut tentang sungai.

Katanya, taman-taman di syurga yang ada di dalamnya adalah sungai-sungai.

- Advertisement -

“Sungai adalah satu anugerah yang sangat hebat dan kita perlu menghargai sungai tersebut,” ujarnya menerusi video pendek bertajuk Sungai Anugerah Terindah yang dimuat naik di laman Facebook beliau, semalam.

Dengan itu, kata beliau sungai perlu dipelihara dan dijaga kebersihannya kerana airnya adalah sumber kehidupan bagi manusia.

“Maka kerana itu, mungkin kita hari ini, semua orang merindui tentang sungai yang jernih, sungai yang aliran airnya dalam keadaan yang sangat indah, sangat cantik. Semua orang merinduinya,” katanya lagi.

Ini kerana, tambahnya banyak sungai yang pada hari ini airnya keruh dan terdapat berbagai-bagai bahan buangan ada di dalamnya.

“Maka tanggungjawab kita bersama untuk menjaga kelestarian sungai, menjaga kebersihan sungai. Pastikan kita tidak buang sampah ke sungai kita.

“Dan sungai sumber kehidupan sama ada ikan-ikan dan sebagainya dan sumber bagi kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghargai sungai.

“Sungai, sesuatu yang ada perlu kita hargai sebelum ianya musnah, sebelum ia rosak.

“Sebahagiannya telah pun musnah dan telah pun rosak dan kita perlu melaksanakan program mitigasi bagi menjaga, memelihara kebersihan sungai

“Mudah-mudahan semua kita mengambil bahagian untuk tidak membuang sampah dan kekotoran ke sungai kita, insya Allah,” kata beliau yang menebarkan jala pada penghujung video itu. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -