JKR galas cabaran Futsal MAKSAK 2020

Foto MUHAMMAD HANIF WAN AHMAD
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan berharap dapat bersaing sehingga separuh akhir pada Kejohanan Futsal Majlis Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2020.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di KSL Setapak Kuala Lumpur bermula 2 hingga 4 Oktober ini dengan 12 pasukan bersaing merebut kejuaraan.

- Advertisement -

Ketua Kontinjennya Ir Nik Soh Yaacob berkata, tahun ini JKR diberi amanah MAKSAK Kelantan untuk mengetuai pasukan futsal.

Katanya, sasaran pasukan itu sekurang-kurangnya layak sehingga ke separuh akhir pada kejohanan tersebut.

“Inilah komitmen kita dan teamwork agar boleh melangkah jauh berbanding tahun-tahun lepas.

“Hampir tiga minggu kita mengadakan latihan pagi, petang dan malam. Saya melihat ada perubahan kepada pasukan futsal kali ini. Kita harap pencapaian lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis amanat semangat futsal MAKSAK Kelantan di Rumah Puspanita JKR Kelantan di sini hari ini.

Pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat menyerahkan bendera dan pakaian sukan kepada kontijen terbabit.

Nik Soh yang juga Jurutera Awam Penguasa JKR Kelantan berkata, kontinjen terbabit disertai 23 ahli termasuk pegawai dan pemain.

“Pasukan kita mengumpulkan pasukan pemain dari pelbagai jabatan kerajaan antaranya Mara, UMK, Kesedar, Pejabat Tanah dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2020

- Advertisement -