Komitmen tinggi kerajaan demi rakyat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan meletakkan komitmen yang tinggi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, antara  komitmen kerajaan adalah untuk menyiapkan 500,000 rumah mampu milik berbanding RMK11 yang hanya membina 282,000 unit rumah mampu milik.

- Advertisement -

Selain itu, katanya, terutamanya kepada rakyat Kelantan yang berulang kali disebut dalam pembentangan RMK12, bahawa kerajaan akan memberi perhatian berhubung pembinaan Lebuh Raya Kuala Krai dan Gua Musang yang dijangka siap menjelang tahun 2025.

“Begitu juga pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 3) yang akan dibina untuk menghubungkan Tumpat, Kelantan dan Gemuruh, Terengganu yang akan disiapkan menjelang akhir 2022,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Sehubungan itu katanya, kini hanya tinggal pelaksanaan dan langkah untuk merealisasikan perancangan tersebut dengan situasi kewangan negara hari ini sebagai halangan utama.

Menurutnya, situasi yang dihadapi negara ketika ini agak mencabar selain hakikat bahawa negara tidak dapat menjana hasil yang banyak. 

“Itu antara beberapa cabaran yang perlu untuk diambil kira. Sekarang adalah masa untuk semua pihak berganding bahu untuk merealisasikan RMK12 terutamanya pihak pembangkang dan kerajaan.

“Kita semua perlu mengenepikan dahulu agenda politik dalaman masing-masing dan fokus kepada isu kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, RMK12 hanya merupakan satu perancangan dan tidak akan berjaya tanpa komitmen daripada semua pihak. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat dengan memfokuskan usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara diagihkan lebih adil serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -