Wujudkan pangkalan data raya berpusat untuk pantau RMK12

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membangunkan suatu pangkalan data raya yang berpusat bagi membantu semua pihak memantau segala perancangan yang telah dirangka untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dalam melonjakkan negara ke era negara maju kelak.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, pangkalan data raya berkenaan memerlukan kepada suatu bentuk tadbir urus yang telus dan terbuka serta bersesuaian dengan semangat kemakmuran milik bersama sepertimana yang dilaungkan kerajaan.

- Advertisement -

“RMK12 menyentuh pelbagai aspek pembangunan negara secara komprehensif. Ia adalah dokumen dasar negara yang hadir tepat pada masanya untuk mendepani fasa pemulihan pascapandemik berasaskan tiga tema untuk merangkanya,” ujarnya.

Tiga tema tersebut,  kata Che Abdullah, ialah menjana semula ekonomi;  memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti; serta melonjakkan kemampanan.

“Saya meneliti pembentangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan mendapati bahawa RMK12 merungkai pelbagai aspek kehidupan rakyat dan memacu jalan ke depan dengan baik dan terperinci.

“RMK12 merangkumi 14 pemacu perubahan utama melibatkan strategi pembangunan ekonomi yang kukuh, suasana perniagaan berdaya saing, pengukuhan institusi pendidikan, kesihatan serta teknologi selain mengurangkan kesenjangan (jurang antara) wilayah,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin lepas.

Justeru menurutnya lagi, kesemua dasar sedia ada dan penambahan dasar baharu memerlukan kepada pendekatan semua pihak dalam pendekatan masyarakat secara keseluruhan (whole of society) serta seluruh bangsa (whole of nation).

Tindakan itu, menurut Abdullah, adalah bagi memastikan RMK12 dipacu dengan lancar serta mencapai fokus bidang keberhasilan yang telah dirangka.

“Saya mengharapkan agar kesemua perancangan ini bukan sahaja cantik di atas kertas, bahkan turut diteliti daripada sudut pelaksanaan dan pengoperasiannya.

“Elemen penyampaian serta pemantauan dasar sangat memainkan peranan dalam memastikan segala perancangan ini menghasilkan impak yang positif kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2021.

- Advertisement -