Isu kerakyatan bayi kelahiran luar negara: Kerajaan teruskan rayuan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept lalu yang membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu diambil bagi mengelakkan kerajaan dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa yang sama, mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Jemaah Menteri sudah meminta Peguam Negara membawa perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan terbabit kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warga Malaysia dengan pasangan warganegara asing,” ujarnya dalam satu sidang media hari ini.

Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.

“Terdapat dua keputusan mahkamah yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan Enam Lagi lawan Kerajaan Malaysia serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Dua Lagi mengenai pentafsiran ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang diputuskan pada 21 Mei lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi kerajaan, manakala bagi kes Suriani Kempe dan Enam Lagi, tidak menyebelahi kerajaan. Sementara rayuan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed akan dibicarakan pada bulan November ini.

“Setelah mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes tersebut dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan Enam Lagi,” katanya.

Terdahulu, status kewarganegaraan bayi yang dilahirkan di luar negara menjadi antara isu terhangat diperkatakan pada sidang Parlimen kali ini sehingga membawa kepada mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat kabinet tersebut adalah bagi memperincikan dasar baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Sept lalu tersebut.

Keputusan mahkamah itu dibuat setelah 64 tahun Perlembagaan diperkenalkan, kini memberi hak yang sama kepada golongan tersebut sebagaimana hak sebelum ini  yang diberikan kepada lelaki berstatus warganegara yang anaknya dilahirkan di luar negara.

Ia adalah hasil pengumuman Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Akhtar Tahir bahawa Perlembagaan Persekutuan, Perkara 14(1)(c) bersama Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(b) berkenaan hak kewarganegaraan, mestilah dibaca bersama dengan Perkara 8(b), yang melarang sebarang bentuk diskriminasi terhadap jantina.

Oleh yang demikian, perkataan ‘bapa’ yang dibaca adalah bermaksud termasuk ibu dan anak mereka adalah layak untuk dikurniakan status kewarganegaraan berdasarkan operasi perundangan.

Sehubungan itu, Hamzah dalam ucapan beliau di Parlimen pada 22 Sept lalu, menyatakan hasrat kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/9/2021