Jabatan Amal terus giat kempen derma darah

jabatan
- Advertisement -

KLUANG: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Kluang telah menganjurkan Amal Johor Mega Blood Donation 2021 (AJMBD21) Zon 4 bagi Daerah Kluang dan Mersing di Pasaraya Econsave Kluang, di sini semalam.

- Advertisement -

Program dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) ini bertujuan membantu Unit Tabung Darah Negara khususnya di mana sentiasa perlu bersiap bekalan darah yang banyak pada setiap masa.

Di samping itu program ini juga mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara AMAL dengan agensi kerajaan di mana program seumpama ini telah diadakan secara besar-besaran oleh AMAL di seluruh Malaysia sejak tahun lalu.

Seramai 66 penderma telah diberi kebenaran menderma berbanding 84 yang mendaftarkan diri di mana kebanyakan tidak layak untuk menderma kerana mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi.

Menurut Penyelaras AJMBD21 Zon 4, Mohd Syafiee Musni, program derma darah ini merupakan program pertama yang dikendalikan oleh Jabatan Amal Kluang dan sambutan diterima itu melepasi sasaran daripada pihaknya.

“Ini program derma darah pertama dan julung kali Jabatan Amal Kluang kendalikan dan selepas ini kami akan teruskan lagi program-program seperti ini pada masa akan datang kerana mendapat sambutan yang amat luar biasa,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Azlisham Azhar dan Pengarah AJMBD21, Noor Hazimin Umarhan, serta Ketua Muslimat PAS Kluang, Latipah Omar dan Ahli Majlis Zon Bandar Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Khairul Anuar Ahmad Kamil. – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -