ECRL: Harap lebih ramai tenaga tempatan dilibatkan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diharap dapat melibatkan lebih ramai tenaga tempatan sama ada dalam tempoh pembinaannya mahupun apabila beroperasi kelak, demikian syor ADUN Beserah, Andansura Rabu.

- Advertisement -

Beliau menyuarakan harapan itu selepas meluangkan masa melihat sendiri pelaksanaan giat projek ini dengan mengadakan lawatan ke tapak Terowong Kuantan berhampiran Semambu dan Kota SAS, di sini kelmarin.

Sepanjang tinjauannya menyaksikan kerja kejuruteraan dan teknologi projek mega ini, beliau telah diberikan penerangan oleh Pengurus Pembinaan, Mohd Zaidi Mat Seman yang bertanggungjawab bagi Seksyen 5.

Menurut beliau, pada ketika ini terdapat 2,000 pekerja yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran di bawah Seksyen 5 ECRL Pahang di mana sekitar 40 peratus daripadanya adalah pekerja warga tempatan.

Secara khusus bagi kerja-kerja pembinaan terowong sepanjang keseluruhan hampir 3 kilometer (km) tersebut yang kini telah mencapai 65 peratus kemajuan, ia hanya melibatkan 10 peratus tenaga anak tempatan.

“Pihak kerajaan perlu mengambil langkah bagi meningkatkan penglibatan tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang sama ada dalam tempoh pembinaan ketika ini mahupun apabila ia beroperasi kelak,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Terowong Kuantan ini terletak antara tengah garisan sempadan Pahang dan Negeri Terengganu dengan laluan keluar dan masuknya berada di negeri ini, manakala hampir 2 km pula di dalam negeri jiran tersebut.

Projek ECRL ini secara keseluruhan melibatkan pembinaan 50 terowong dengan corak landskap berbeza sepanjang laluan di mana dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2026 dan akan beroperasi sepenuhnya tahun 2027.

Jajaran laluannya sepanjang 665 km dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Klang, Selangor melintasi enam daerah negeri ini iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Bera, Temerloh dan Bentong membabitkan jarak 250 km dari Gebeng ke Bentong.

Setakat ini, kemajuan projek ECRL telahpun mencapai 23 peratus keseluruhannya dan secara khusus di Pahang telah melepasi 20 peratus setelah ianya tertangguh dari jadual asal sebanyak dua kali sejak dimulakan pembinaan pada tahun 2018.

“Harapan saya agar projek ini akan berjalan lancar setelah dua kali terjejas sebelum ini atas faktor pentadbiran kerajaan dan krisis pandemik,” ujarnya yang yakin projek ini akan dapat memberi kemudahan dari segi prasarana dan menguntungkan rakyat. – HARAKAHDAILY 24/9/2021

- Advertisement -