27 kementerian selesai gulung Usul Menjunjung Kasih Titah Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Minggu kedua persidangan Dewan Rakyat menyaksikan Ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan membangkitkan pelbagai isu pada sesi perbahasan dan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dalam masa dua hari sesi penggulungan.

Sebanyak 27 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bermula Rabu lepas dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

- Advertisement -

Sebanyak 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan bermula 14 Sept dan sepanjang persidangan kali ini, Ahli-ahli Parlimen baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang mengutarakan soalan dan perbahasan tanpa menimbulkan ‘kekecohan’ tidak perlu.

Setiap soalan rata-ratanya berkaitan kepentingan di kawasan masing-masing, dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan kebanyakan jawapan diterima dengan baik.

Antara yang menarik perhatian adalah isu pembukaan sekolah dengan Kementerian Pendidikan memaklumkan akan membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu, sebelum murid-murid memulakan sesi persekolahan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyatakan meskipun penularan kes Covid-19 masih tinggi, namun berdasarkan indikator-indikator penting, ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan projek pembinaan menara telekomunikasi baharu akan dilaksanakan segera untuk memastikan pelaksanaan program jalur lebar dan khidmat 4G di negara ini.

Rang Undang-undang Anti Lompat Parti juga dibangkitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu sidang dewan Peguam Negara telah menerima arahan untuk menggubal undang-undang itu.

Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021 adalah satu-satunya yang dibentang bagi bacaan kali pertama dalam tempoh dua minggu persidangan. 

Sidang bersambung Isnin ini dengan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

- Advertisement -