Kerajaan cadang perkenal peranti kesan kontak Covid-19

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem peranti yang membolehkan rakyat yang tidak mempunyai telefon pintar mempunyai akses ke sesuatu premis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata golongan berkenaan seperti warga emas berhadapan masalah kerana tidak mempunyai telefon pintar, sekali gus tidak dapat menggunakan MySejahtera, aplikasi penting untuk mendaftar masuk dan keluar sesuatu premis.

- Advertisement -

Katanya, sistem peranti itu sedang dimajukan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dirancang diagihkan secara percuma kepada mereka yang tidak mempunyai telefon pintar.

“Di Singapura, kerajaan memberi peranti yang dinamakan Trace Together kepada rakyat yang tidak mempunyai telefon pintar, terutama warga emas,” katanya menjawab celahan Vivian Wong Shir Yee (DAP-Sandakan) ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Vivian Wong meminta penjelasan Kementerian Kesihatan mengenai langkah bagi menangani isu warga emas dan golongan B40 yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera.

Khairy berkata, setakat ini MySejahtera mempunyai ciri yang membolehkan pemilik telefon turut mendaftarkan tanggungan apabila berurusan di sesuatu premis.

“Namun bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, masih lagi boleh tulis pada buku dan bawa kad vaksinasi secara manual,” katanya.

Singapura mengagihkan peranti Trace Together kepada rakyat negara itu secara percuma sejak September tahun lalu untuk memudahkan pengesanan kontak Covid-19. Peranti itu menggunakan teknologi bluetooth jarak dekat yang akan mengesan peranti berdekatan.

Jika pengguna peranti dijangkiti Covid-19, alat itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengesan pengguna yang mempunyai kontak dengan individu berkenaan. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -