Kerajaan didesak semak peningkatan cabutan khas judi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS berharap Kementerian Kewangan menyemak semula kelulusan peningkatan mendadak cabutan khas judi daripada hanya lapan kali tahun lepas kepada 22 tahun ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kementerian terbabit mempunyai bidang kuasa bagi membetulkan semula keadaan.

Katanya, parti itu sudah menyatakan bantahan terhadap syarikat judi dan menyuarakan melalui wakil PAS dalam kabinet.

“Bantahan dibuat PAS dalam dua bentuk iaitu secara terbuka dan dalaman melalui kabinet.

“Lagi pun saya dimaklumkan perkara itu tidak dibawa ke kabinet, keputusan yang dibuat itu hanya peringkat kementerian sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Sumbangan Usahawantani al Falah peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor di Pusat Khidmat Dun, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan mengumumkan kelulusan permohonan daripada semua syarikat judi dan nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, kelulusan lesen judi tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Cuma di peringkat parti menyuarakan bantahan secara terbuka melalui dewan-dewan ulamak dan pemuda serta menyuarakan bantahan dalam melalui ahli kita dalam kerajaan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kenaikan tersebut yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz di sidang Dewan Rakyat semalam sebagai tidak rasional.

Kata beliau pendirian PAS dalam isu judi jelas sejak dahulu lagi, di mana tidak nampak rasional menambah sehingga 22 cabutan tahun ini. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -