Produk langgar status halal bernilai RM11.6 juta dirampas

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), merampas produk makanan bernilai RM11.6 juta kerana melanggar status halal setakat Ogos tahun ini.

Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid, berkata sebanyak 228 kes dikesan hasil pemeriksaan terhadap produk yang tidak mematuhi status halal.

- Advertisement -

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap logo halal dan produk halal itu sendiri. Sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Oleh itu, kita hanya menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal.

“Pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bersama Jakim, malah turut dibuat di tempat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan,” katanya di Dewan Rakyat ,hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung tindakan mengatasi serta jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal, sama ada import dari luar negara atau keluaran dalam negara. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai isu kartel daging haram, Rosol memaklumkan penjenayah aktiviti tersebut telah didakwa pada Februari lalu dengan kes akan dibicarakan pada Disember depan.

Katanya, kementerian juga meminta pengguna melaporkan sebarang aktiviti meragukan kepada KPDNHEP agar tindakan sewajarnya dapat dilakukan. – HARAKAHDAILY 22/9/21

- Advertisement -