Kenapa ramai yang tubuhkan NGO?

HARI ini terdapat beratus-ratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah beribu-ribu di negara kita. Ada yang memiliki ahli yang ramai sehingga berpuluh-puluh ribu dan ada yang hanya dianggotai oleh beberapa individu sahaja. Ada yang meliputi seluruh negara, ada yang bergerak di peringkat negeri dan ada juga yang aktif di peringkat yang lebih kecil seperti di taman-taman perumahan dan kampung-kampung. Tetapi ada juga yang bergerak di peringkat Antarabangsa.

Fokus NGO-NGO ini pula berbeza-beza. Ada yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan memiliki pelbagai matlamat. Ada juga yang hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua isu atau matlamat. Ada yang memberi tumpuan kepada kebajikan sama ada ahli-ahli mereka, penduduk setempat atau masyarakat yang lebih luas. Ada yang memperjuangkan hak-hak ahli mereka atau anggota masyarakat. Ada yang terlibat dengan aktiviti sosial dan rekreasi. Ada juga yang terlibat dengan pendidikan dan berusaha mendalami serta membangunkan bidang ilmu yang menjadi pengkhususan mereka untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Mustahil untuk menyenaraikan kesemua matlamat-matlamat tersebut kerana masyarakat kita sentiasa kreatif.

Advertisement

Hayat NGO-NGO ini juga berbeza. Ada yang kekal berpanjangan, ada yang diwujudkan untuk memberi tumpuan kepada isu-isu khusus dan akan lenyap apabila matlamat mereka tercapai. Contohnya ada yang ditubuhkan untuk menentang sesuatu pembangunan di kejiranan mereka tetapi akan lenyap atau dibubarkan setelah pembangunan itu berjaya dibatalkan.

Tetapi kenapa perlu tubuhkan NGO? Tidakkah memadai dengan wujudkan parti-parti politik sahaja? Bukankah tugas-tugas tersebut boleh laksanakan oleh parti-parti politik? Bukankah isu-isu tersebut lebih berkesan diperjuangkan oleh parti-parti politik?

NGO-NGO yang besar dan berpengaruh telah juga wujud tetapi kenapa perlu ditubuhkan lebih banyak NGO-NGO? Kadang-kala matlamat mereka hampir serupa. Kadang-kala NGO-NGO baharu ini memiliki bilangan ahli yang kecil. Bukankah lebih baik menyertai NGO-NGO yang sedia ada?

Berikut adalah di antara alasan-alasan NGO-NGO ini ditubuhkan. Mungkin kita tidak bersetuju dengan mereka tetapi ia adalah pandangan mereka dan mereka bergerak di dalam masyarakat.

1. Lebih fokus dari segi gerak kerja dan aktiviti.

Ada di antara aktivis masyarakat yang hanya berminat dengan satu-satu tugas sahaja. Mereka hanya boleh memberi tumpuan kepada satu tugas sahaja. Sama ada untuk membantu masyarakat atau memperjuangkan isu-isu khusus. Mereka hanya berminat kepada satu gerak kerja dan tidak mahu disibukkan dengan gerak kerja lain yang akan mengganggu tumpuan mereka.

2. Lebih fokus dari segi isu dan pengkhususan.

Ada individu yang berminat dengan satu-satu isu atau satu-satu pengkhususan. Contohnya mereka yang hanya berminat dengan isu-isu atau pengkhususan tertentu dan mendalaminya untuk dimanfaatkan untuk masyarakat. Mungkin isu-isu alam sekitar, isu-isu pengguna, isu-isu perumahan dan isu-isu lain yang tidak mendapat tempat di hati-hati aktivis akar umbi kerana kurang nilai sensasinya.

3. Lebih mudah di dalam membuat keputusan.

NGO yang kecil lebih mudah untuk membuat sebarang keputusan kerana bilangan ahli mereka yang kecil. Ini berbeza dari sebuah organisasi yang memiliki beratus-ratus atau beribu-ribu ahli yang sudah tentu tidak mudah untuk membuat keputusan jika terdapat bangkangan dari ahli-ahli yang terdiri dari pelbagai ragam itu. Terdapat mereka yang malas hendak bergaduh dan hanya berminat untuk bekerja. Justeru itu NGO yang kecil lebih mudah untuk menggerakkan masyarakat.

4. Tidak dibebankan dengan birokrasi.

Birokrasi yang mengurangkan keberkesanan mungkin berlaku pada NGO yang memiliki cawangan-cawangan atau rangkaian di seluruh negara. Keputusan yang dibuat oleh cawangan-cawangan mungkin terpaksa mendapat kelulusan atau pengesahan dari pimpinan induk. Birokrasi ini akan melambatkan gerak kerja dan amat mengecewakan serta membosankan bagi mereka yang biasa bergerak dengan pantas.

5. Bebas dan berkecuali.

Ada NGO yang ditaja oleh kerajaan, ada NGO yang ditaja oleh parti-parti politik dan ada NGO yang tidak terikat dengan mana-mana pihak sekalipun. NGO yang tidak terikat, bebas untuk mengadakan hubungan dengan mana-mana pihak. Mereka juga bebas mengkritik atau memberi pandangan tanpa perlu menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak. Ia penting sebagai semak dan imbang (check and balance) bagi kerajaan atau mana-mana organisasi.

6. Mudah untuk mendekati masyarakat.

Lazimnya NGO-NGO lebih mudah menarik orang ramai dari parti-parti politik. Masih terdapat anggota masyarakat yang memiliki prejudis terhadap parti-parti politik dan orang-orang politik. Jika NGO tersebut dikenali sebagai bebas dan berkecuali ia akan berupaya menarik seluruh anggota masyarakat tanpa mengira warna politik mereka. Ia akan berupaya memecahkan tembok-tembok politik yang terbina di dalam masyarakat.

Memperkasakan masyarakat

Sumbangan NGO-NGO ini walaupun NGO yang kecil adalah besar. Sama ada untuk membantu masyarakat ketika kesusahan, memberi perkhidmatan kepada masyarakat, memberi kesedaran kepada masyarakat atau memperjuangkan hak-hak mereka. Mereka dapat memperkasakan masyarakat dengan melahirkan pimpinan-pimpinan akar umbi. Mereka yang berpotensi ini mungkin akan tenggelam dan bakat mereka tidak akan terserlah jika menyertai organisasi yang besar. Ada yang mahu mengawal NGO-NGO ini tetapi mereka lupa terdapat NGO-NGO yang wujud kerana terdapat mereka yang tidak mahu dikawal oleh sesiapa. Setiap dari kita menyumbang dengan cara masing-masing. Kita perlu lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Kita bukan saingan tetapi satu pasukan yang bekerja untuk kebaikan masyarakat.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 17/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4680277245324569/