Ketika PKP hanya untung niaga RM20 sehari

Zainudin Ismail
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Langkah kerajaan membuka semula Langkawi bermula Khamis ini sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan melegakan penggiat industri berkenaan.

Eksekutif Syarikat Pelancongan, Sea Splash Travel Sdn Bhd, Azelan Azeman berkata pihaknya menarik nafas lega dan bersyukur setelah dua tahun tidak dapat beroperasi dengan baik kerana penularan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, ini adalah satu kelegaan besar kepada kami yang rata-rata sudah bersedia untuk menyambut pelancong.

- Advertisement -

“Sudah dua tahun perniagaan mengalami kerugian, hotel pun tidak dapat beroperasi jadi bila boleh buka semula memang bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkecimpung dalam industri pelancongan sejak 16 tahun lalu yang bermula dari bawah sebagai penjaga parkir kereta sehingga berjaya sampai tahap sekarang.

“Dari segi langkah pencegahan pula, kami memang ikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap kerajaan untuk memudahkan urusan orang ramai,” katanya.

Menurutnya juga pada 16 September ini beliau menerima lebih 100 tempahan untuk menggunakan perkhidmatan dengan syarikat pelancongannya.

Baru-baru ini kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September.

Bagaimanapun pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Sementara itu seorang peniaga buah-buahan, Zainudin Ismail, 53, menzahirkan rasa syukur dengan langkah yang diambil kerajaan sekarang.

“Saya sudah berbelas tahun berniaga di sini, jadi alhamdulillah apabila jeti dibuka kembali membolehkan ramai pelancong datang.

“Sebelum ini memang rugi, tetapi gerai tetap buka sebab memang sudah sebati saya berniaga di sini. Apabila pelancong ramai datang pendapatan kami pun boleh bertambah sedikit,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga buah-buahan Saodah Junus, 71, turut menarik nafas lega kerana pendapatan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya sekitar RM20 sahaja sehari.

Sedangkan sebelum pandemik Covid-19 berlaku beliau mendapat keuntungan sekitar RM100 hingga RM200 sehari.

“Kadang-kadang sehari boleh dapat RM20 sahaja, jadi apabila kerajaan mahu buka semula industri pelancongan, alhamdulillah berasa lega,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -