Dulu pinjam wang, kini mahu buka kedai kek

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Kemiskinan enam tahun lalu menyebabkan Mariatul Masriana Arifin, 35, pernah tiada langsung makanan di rumah untuk lima orang anaknya, termasuk dua anak istimewa.

Katanya, terpaksa berlapar dan makan cuma sekali sehari sudah menjadi perkara biasa buat keluarganya ketika itu, malah boleh dikatakan hampir setiap hari, hanya makan berlauk telur dengan kicap.

- Advertisement -

“Malah, saya pernah tidak menjamah nasi dan digantikan dengan biskut untuk melapik perut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mariatul Masriana juga sebak mengenangkan saat terpaksa meminjam wang dan lampin untuk anak daripada ahli keluarga sementara menunggu suaminya menerima gaji.

Suaminya, Shahril Saidin, 40, ketika itu bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan gaji RM700 sebulan.

Walaupun hidup susah, dia berjimat cermat dan berjaya menyimpan RM50 sebulan untuk membeli sebuah oven bagi memulakan perniagaan kek yang kemudian berjaya mengubah kehidupannya dan keluarga.

Antara kek buatan Mariatul Masriana Arifin yang mendapat sambutan hangat

“Bermula dari situ, kehidupan kami sekeluarga berubah, Alhamdulillah,” katanya yang tidak mahu anak-anak mewarisi kesusahannya.

“Saya kini saya boleh membeli apa yang saya mahu. Anak-anak pun sudah boleh tidur di atas tilam empuk. Hasil jualan kek juga membolehkan saya mampu membeli motosikal,” katanya.

Bermula dengan oven itu, Mariatul Masriana, mengusahakan kek dengan lebih 15 perisa, selain membuat roti dan piza serta tepung kek segera yang mendapat permintaan tinggi di selatan tanah air.

“Saya memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial untuk mempromosikan jualan. Dalam masa terdekat, saya merancang untuk membuka sebuah kedai bakeri kerana sekarang, perniagaan dilakukan di rumah,” tambahnya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis membantu perniagaan kek Mariatul Masriana Arifin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Mohammad Hazam Ismail, berkata keluarga Mariatul Masriana adalah penerima bantuan bulanan dari JKM sejak November 2018.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, mereka menerima dua kali Geran Pelancaran JKM berjumlah RM5,400 yang digunakan sebagai modal membeli peralatan membuat kek.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mempunyai hikmah kepadanya kerana jualan kek meningkat sehingga 150 biji sehari, berbanding bawah 20 biji kek sebelum itu,” katanya yang menyatakan Mariatul Masriana mempunyai ramai ejen jualan di Perlis dan Kedah. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -