MoU diharap tidak terbengkalai di tengah jalan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) diharap tidak terbengkalai di tengah jalan sehingga mengulangi kisah lama politik yang berlaku sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Ariff Abdullah berkata, MoU itu sekurang-kurangnya tidak mengganggu usaha kerajaan bagi mendapat sokongan ketika undian Belanjawan 2022 pada persidangan parlimen akan datang.

Katanya, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada PH bagi menepati dan melaksanakan kandungan perjanjian persefahaman tersebut.

- Advertisement -

“Kita minta barisan pembangkang supaya menepati perjanjian itu, jangan hanya berlaku sekerat jalan sahaja kerana perkara ini pernah dikemukakan perdana menteri sebelum ini dengan tawaran rentas parti.

“Kita juga menyambut penerimaan kerajaan sekarang terhadap cadangan yang dikemukakan PH sebelum ini seperti pembaharuan parlimen, transformasi pentadbiran kerajaan dan pemerkasaan pelan Covid-19,” katanya di sini.

Semalam Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mematerai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pimpinan PH yang disertai Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Dato’ Seri Wilfred Madius Tangau.

Mohd Ariff juga berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu fokus kepada agenda menjaga kebajikan rakyat dan perbalahan antara kerajaan dan pembangkang hendaklah dihentikan.

Timbalan Exco Kerajaan Kelantan Abdul Rahman Yunus pula berkata, perjalanan sebuah kerajaan bertambah baik jika mendapat kerjasama serta sokongan pembangkang khususnya ketika pandemik sekarang.

Katanya, Kelantan merupakan negeri yang sifar pembangkang tidak terjejas dengan situasi politik di peringkat pusat sekarang.

“PAS, Umno dan Bersatu di Kelantan semuanya menjadi bahagian kerajaan. Kita bersama-sama membina dan membantu rakyat. Semua menerima peruntukan sama untuk membantu rakyat,” katanya.

Oleh itu beliau berharap MoU tersebut tidak diambil kesempatan bagi kepentingan sempit parti politik sehingga mengabaikan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -