Kerajaan berani cetus tawaran transformasi politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan dianggap mencetus satu keberanian bagi mengendalikan demokrasi di negara ini dengan menawarkan transformasi politik bersama pembangkang.

Usaha itu dirintis Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana sebelum ini menawarkan rentas parti demi kestabilan politik, namun ia ditolak pembangkang.

Bagaimanapun selepas itu usaha tersebut diteruskan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi tujuh perkara.

- Advertisement -

Antaranya setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Selain itu pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Mengulas perkembangan itu pakar perlembagaan dari UiTM Prof Dato’ Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, politik musyawarah begitu penting dilaksanakan kerajaan.

Katanya, perkara itu perlu diteruskan kerana ia dipercayai akan memberi keselesaan kepada rakyat bagi melahirkan suasana politik negara yang lebih stabil.

“Demokrasi musyawarah ini merupakan satu keberanian dicetus kerajaan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Malah ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan istiadat pembukaan persidangan parlimen pagi tadi,” katanya yang juga Penyandang Kursi Raja-raja Melayu di UiTM.

Beliau berkata demikian pada program siaran langsung melalui RTM sempena Istiadat Pembukaan Penggal keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Baru-baru ini perdana menteri mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tawaran tersebut turut meliputi Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Selain itu keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

Tujuh tawaran itu selaras titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang penting sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Manakala pada perkembangan berkaitan difahamkan petang ini akan diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -