Agong nasihat Ahli Parlimen utamakan rakyat

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihat Ahli Parlimen supaya jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

Seri Paduka Baginda bertitah, rakyat perlu dijadikan keutamaan Ahli Parlimen ketika ini, berbanding kepentingan politik peribadi masing-masing.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, negara dan rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

- Advertisement -

“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini, terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan, agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Seri Paduka Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, hari ini.

Perasmian diadakan serentak bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Seri Paduka Baginda juga meminta Ahli Parlimen untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangan pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -