Orang ramai terharu terima sumbangan Tabung Harakah Prihatin

Penduduk Flat Sri Pangkor, Sentul, Kuala Lumpur teruja menerima sumbangan daripada Tabung Harakah Prihatin.
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR:  Penduduk Flat Sri Pangkor, Sentul melahirkan perasaan terharu apabila menerima sumbangan berupa keperluan barangan harian daripada pihak PAS dan Harakah melalui Tabung Harakah Prihatin.

Keceriaan jelas tergambar pada raut wajah mereka ketika hadir untuk menerima sumbangan tersebut di dewan persatuan penduduk Flat Sri Pangkor setelah menerima barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, teh, susu dan biskut.

- Advertisement -

Seorang suri rumah, Sharah Mustafa, 67, berkata, dia begitu teruja dengan sumbangan yang diberikan itu kerana bantuan berkenaan sangat diperlukan pada saat ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya sangat terharu dengan bantuan ini dan sangat berterima kasih atas kesudian pihak PAS dan Harakah menghulurkan bantuan kepada saya,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sharah Mustafa

Sementara itu pemandu Grab, Afdal Nasrul, 35, melahirkan perasaan syukur atas bantuan daripada PAS dan Harakah yang sedikit sebanyak membantu dirinya dalam menghadapi kesukaran akibat daripada wabak Covid-19.

“Syukur alhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu untuk saya mengharungi tempoh kesukaran impak daripada pandemik ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PAS dan Harakah kerana prihatin dengan nasib kami,” katanya lagi kepada HarakahDaily

Afdal Nasrul

Bagi pesara Amaludin Ariffin, 61, pula dia sangat bersyukur kerana mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka untuk penduduk Kawasan Batu itu. 

“Terima kasih kepada PAS dan Harakah kerana memberi bantuan ini dan saya berharap agar pihak Harakah dapat meneruskan lagi inisiatif yang sangat membantu golongan yang memerlukan seperti kami,” ujarnya. 

Amaludin Ariffin

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Harakah, Kamaruzaman Mohamad, Tabung Harakah Prihatin ini adalah sebagai salah satu daripada saluran untuk Harakah berbakti kepada masyarakat tempatan, terutama sekali kepada golongan yang memerlukan.

“Ini ialah salah satu daripada bentuk sumbangan yang kita berikan. Sebelum in kita juga memberikan sumbangan kepada golongan asnaf, yang memerlukan dari sudut rawatan kesihatan.

“Selain itu, kita beri kepada keluarga golongan kurang upaya (OKU) yang terjejas pendapatan mereka dan kita berikan bantuan peralatan untuk mencari rezeki macam periuk dan sebagainya,” ujarnya.

Sebahagian wakil Harakah bersama wakil daripada pimpinan PAS kawasan Batu yang hadir pada majlis sumbangan Tabung Harakah Prihatin kepada penduduk Flat Sri Pangkor di Sentul.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian daripada bentuk kebersamaan Harakah bersama dengan golongan memerlukan.

“Kita akan mengaktifkan lebih banyak lagi sumbangan yang kita akan buat selepas ini dan kita mengalu-alukan  sumbangan daripada penderma untuk menyalurkan bantuan melalui Tabung Harakah Prihatin,” katanya – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -