Cipta kerjaya di sebalik pandemik, ‘part time’ raih RM4,000

- Advertisement -

PAYA BESAR: TV Makmur telah membawakan rancangan Talkshow yang membicarakan topik ‘PKP: Tiada Kerja atau Terlalu Memilih Kerja’ dengan bersiaran menerusi laman Facebook TVMakmur, semalam.

Perbincangan secara khusus mengupas mengenai kesan dan cabaran ekonomi sejak pandemik COVID-19 dari 18 Mac tahun lalu di mana menjadi kebimbangan anak muda terhadap peluang pekerjaan mereka.

- Advertisement -

Ianya sebagai satu inisiatif, galakan dan suntikan semangat betapa cabaran sedang dihadapi semua pihak ketika ini bukanlah penamat atau mematikan langkah untuk tetap melangsungkan kerjaya atau meraih pendapatan.

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya mengacarakan lontaran dari ahli panel yang berkecimpung dalam bidang perkhidmatan penghantaran barangan, Mazhwar Mamat dan pemilik perniagaan makanan Laparjo, Shaiful Afzal Zainal Azmin.

Mazhwar yang sebelum ini adalah penyelia tapak dalam sektor kejuruteraan, berkongsi pengalaman beralih kepada kerjaya terbaharu tersebut berikutan terkesan dengan arahan penutupan aktiviti-aktiviti di tapak projek.

“Akibat dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya perlu mencari satu pekerjaan yang dapat menjana pendapatan tambahan. Walaupun saya jadikan kerja ini sebagai ‘part time’, tetapi ia memberi pendapatan sehingga RM4,000 ke atas.

“Alhamdulillah. Dalam sehari saya hantar barangan dari Sungai Soh hingga Balok dengan purata 100 hingga 120 barang dan meraih pendapatan lebih kurang RM150 sehari bagi nilai RM1.50 hingga RM2.00 dari setiap item.

“Saya hantar barang sebanyak itu sehari yang diperuntukkan masa 8 pagi hingga 5 petang. Namun saya dapat menyelesaikan sehingga pukul 2 petang sahaja,” ujarnya yang merupakan anak jati FELDA Penor.

Menurut beliau, kerjaya dalam perkhidmatan penghantaran barang seperti dilakukannya menjadi pilihan anak-anak muda masa sekarang bukan sahaja kerana pendapatan lumayan, tetapi juga kerana masa kerja fleksibel.

Shaiful Afzal pula mengakui ramai yang seperti beliau terkesan pendapatan mereka akibat pandemik di mana kantin diusahakannya di sebuah pejabat kerajaan terpaksa ditutup setelah pandemik berterusan.

Bagaimanapun, beliau bangkit meneruskan perniagaan makanannya dengan memulakan penggunaan aplikasi Laparjo yang menawarkan perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan secara dalam talian.

“Walaupun baru 2 bulan menjalankan perniagaan menggunakan aplikasi pesanan makanan ini, Laparjo telah mencatat subscribers lebih 200 kedai di Daerah Kuantan,” ujarnya yang tinggal di Tanjung Api, Kuantan.

Menurutnya, dengan menggunakan perkhidmatan dan aplikasi ini, peniaga masih boleh mendapatkan pelanggan walaupun mereka tidak dapat memasuki kedai, termasuk orang yang dikuarantin juga boleh membeli tanpa keluar dari rumah. 

Laparjo merupakan aplikasi bagi membantu peniaga-peniaga makanan memasarkan perniagaan mereka di samping menjadi pendapatan tambahan kepada ejen-ejen yang berdaftar,” katanya.

Tambah beliau, lebih menarik lagi, Laparjo merupakan aplikasi pemesanan dengan menawarkan harga makanan yang sama seperti harga di kedai.

Shaiful juga mempelawa semua anak-anak muda di luar sana agar menyertai Laparjo bagi menjadi ejen berdaftar dengan menghubungi beliau di talian 014-213 7409 dengan segera. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -