Jemaah solat Jumaat: Penjelasan Masjid Putra Putrajaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masjid Putra Putrajaya merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September lalu di masjid itu.

“Ingin dijelaskan bahawa pengurusan kehadiran jemaah di Masjid Putra sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” jelas Masjid Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, bagi solat Jumaat, kapasiti Jemaah di Masjid Putra telah ditetapkan seramai 300 orang.

Katanya, daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, tidak dapat dinafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran para jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak jam 11.00 pagi untuk menunaikan solat Jumaat.

Tambahnya, apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pinta pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudiaan tidak dapat memasuki masjid. Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan

“Justeru, kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi,” ujarnya.

Ujar kenyataan itu, sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra.

“Pihak Masjid Putra memohon kemaafan atas kekhilafan yang berlaku dalam hal ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -