PASRelief giat Misi Wakaf Al-Quran buat Muslim Rohingya

- Advertisement -

ARAKAN, Myanmar: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah melaksanakan Misi Sumbangan Wakaf Al-Quran untuk tujuh Pusat Pengajian Islam perkampungan Muslim Rohingya, di sini.

- Advertisement -

Antara pusat pengajian tersebut adalah Madrasah Misbahul Ulum Darul Itam dan Tahfiz Quran, Madrasah Islamiah Mohiul Uloom Youngshong dan Madrasah Rawshidia Thah Fezule Quran.

Pengarah Misi Bantuan PASRelief di Arakan, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, lebih daripada 1,000 pelajar dari tujuh madrasah tersebut telah pun memanfaatkan Al-Quran yang diterima.

“Pelajar di sana memanfaatkan Al-Quran untuk bertalaqqi, bertadarrus, mempelajari tafsir Quran dan juga menghafal Al-Quran.

“Jika sebelum ini mereka sukar untuk mendapatkan Al-Quran untuk sesi pembelajaran kerana mereka kekurangan duit untuk membeli. Kini, dengan pemberian Al-Quran tersebut mereka dapat manfaatkan dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Beritahu beliau, daripada foto-foto dikirimkan wakil PASRelief di sana, jelas terlihat riak wajah para pelajar yang sungguh gembira dan rasa berbesar hati dengan pemberian diwakafkan para penyumbang.

PASRelief maklum beliau yang juga Ahli Parlimen Sik, turut membuat bayaran elaun kepada staf untuk enam Madrasah di Arakan sebanyak RM50,000 atas khidmat mereka mendidik pelajar di sana.

Katanya, walaupun mereka itu berada jauh dari pandangan penderma, namun dengan pemberian tersebut sebenarnya berjaya mengukuhkan lagi persaudaraan antara Muslim dari kedua negara itu.

“PASRelief berhasrat untuk memperluaskan lagi Misi Sumbangan Waqaf Al-Quran untuk diedarkan di Madrasah-madrasah wilayah Arakan. Terima kasih para penderma yang telah membuat wakaf ini,” ujarnya.

Para dermawan yang prihatin dan ingin turut sama menyumbang bagi menjayakan misi-misi PASRelief boleh menghulurkan melalui Maybank Islamic atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 564070611352 atau PASRELIEF 564070612333. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -