Lebih 500 nelayan asing diberi suntikan vaksin percuma

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Kerajaan mengambil inisiatif memberi suntikan vaksin jenis Pfizer secara percuma kepada lebih 500 nelayan asing yang berkerja dengan pengusaha 10 bot laut dalam tempatan di Tok Bali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, nelayan terbabit berasal dari Laos, Thailand dan Vietnam.

- Advertisement -

Katanya, mereka bersetuju untuk divaksinkan, yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan.

“Program pemberian dos pertama vaksin itu dilaksanakan selama dua hari bermula hari ini,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat DUN Semerak di sini, hari ini,

Turut hadir Pengarah LKIM Kelantan Khuzaimah Husain dan Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Nazri Ishak.

Tuan Mohd Saripudin berkata, dos kedua akan diadakan pada 1 Oktober depan sebagai usaha menyekat penularan wabak berkenaan dalam kalangan nelayan sehingga boleh menjejaskan pengeluaran ikan bagi keperluan rakyat.

Menurutnya juga nelayan terbabit dikenakan beberapa syarat termasuk mesti mempunyai pasport yang sah memasuki negara ini dan buku pelaut dikeluarkan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, selain mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan nelayan, dibimbangi boleh berjangkit kepada penduduk tempatan di Tok Bali.

Katanya juga kerajaan turut memberi suntikan percuma terhadap pekerja binaan warga asing dan industri keropok yang banyak terdapat di Semerak dan Kampung Pachakan bersempadan dengan Besut. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -