Isu haluan kiri punca Bersatu keluar PH

KUALA LUMPUR: Menjejaki usia lima tahun Bersatu berjaya menghadapi cabaran besar dengan mengubah landskap politik negara.

Sumbangan besar Bersatu menukarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta kerajaan sekarang tanpa sebarang pertumpahan darah.

Ketua Penerangan Bersatu Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, tanpa penglibatan Bersatu kerajaan dahulu tidak akan berubah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Advertisement

Namun katanya semasa bersama PH, Bersatu sedia maklum agenda mereka berbeza, di mana kebanyakan parti besar PH membawa fahaman haluan kiri.

“Apabila kita melihat agenda PH berbeza, misalnya bantuan rakyat minta tidak diberi, malah dipotong lagi maka Bersatu mengambil langkah berani dengan keluar daripada gabungan PH.

“Ia demi memastikan prinsip dan matlamat perjuangan kekal dan dapat dipertahankan,” katanya kepada media di pejabatnya semalam.

Menurut laporan pnbbcportal.com Wan Saiful dilapor berkata, Bersatu bukan hanya untuk merubah landskap politik negara pada PRU14, malah memastikan agenda orang Melayu/Bumiputera, agama Islam dan kemakmuran rakyat diperjuangkan.

Menurutnya biarpun berisiko hilang kuasa namun, Bersatu mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan PH demi memastikan prinsip dan matlamat penubuhan parti dipertahankan.

Katanya selepas keluar daripada PH, Bersatu berjaya membentuk kerajaan baharu dikenali Perikatan Nasional, di mana muncul cabaran besar dengan penularan wabak Covid-19.

“Bersatu membuktikan kemampuan dengan fokus kebajikan rakyat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kerajaan menghulurkan begitu banyak bantuan kewangan kepada rakyat.

“Ketika pembangkang sibuk berpolitik, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus membantu rakyat. Kita tidak pernah lupa fokus kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Wan Saiful berkata, Bersatu dijangka mengumumkan hala tuju parti itu pada ucaptama yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Muhyiddin sempena ulang tahun ke-5 malam ini.

Bersatu diwujudkan lima tahun lepas selepas Muhyiddin disingkirkan daripada Umno ekoran kritikannya terhadap isu 1MDB. Muhyiddin dengan dukungan Tun Mahathir Mohamad melahirkan Bersatu, sebagai wadah baharu orang Melayu.

Bersatu kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan berjaya menumbangkan kerajaan BN pada PRU14. – HARAKAHDAILY 10/9/2021