Pemulihan perlu diagih saksama elak jurang melebar

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan supaya diperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia.

Selain itu meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar daripada pandemik ke tahap endemik.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat negara ini juga perlu bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

- Advertisement -

Selain itu katanya dicadangkan kerajaan mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama.

“Mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mapan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan program pemulihan.

“Memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Perkara itu diketengahkan bekas perdana menteri terbabit pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.

Program itu diadakan secara maya menampilkan ucap tama disampaikan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada kenyataan Sabtu lepas mengumumkan jemaah menteri bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, proses pemulihan hendaklah diagihkan secara saksama bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Saya mengalu-alukan saranan dan pandangan daripada pihak industri, pimpinan masyarakat, NGO, belia, parti-parti politik dan semua pihak untuk bersama-sama menyumbang kepada proses pemulihan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -