Kerajaan temui guru Yik belum sedia divaksin

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memanggil guru-guru di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang belum bersedia untuk divaksinkan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pertemuan itu akan dibuat tidak lama lagi bagi mendapatkan maklumat jelas berhubung keengganan mereka untuk divaksinkan.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri akan memanggil mana-mana guru yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksin Covid-19.

“Kita memanggil mereka bukan untuk menghukum atau mengambil sebarang tindakan, tetapi untuk mendapat maklum balas dan mengetahui apa masalah mereka sebenar.

“Alasan yang kita tahu sebelum ini adalah bersifat umum, ada yang takut untuk vaksin, risau lepas vaksin ada yang sakit dan sebagainya” katanya di sini, semalam.

Menurutnya juga, kumpulan guru Yik terbabit dianggap tidak termasuk golongan yang cuba menggagalkan program vaksinasi di negara ini.

Mohd Amar juga berkata, Kelantan yakin mencapai imuniti kelompok 80 peratus pada hujung bulan ini walaupun jumlah pengambilan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ agak perlahan.

Katanya, walaupun gerakan untuk mendapat suntikan yang disediakan beberapa tempat agak perlahan, namun ia tidak menggambarkan jumlah sebenar yang layak divaksinkan.

“Kita tengok di beberapa jajahan termasuk di Tanah Merah program vaksinasi ‘walk-in’ menunjukkan masing-masing sudah keluar mengambil vaksin,” ujarnya.

Tambahnya, dua hari lepas Kelantan telah mencapai 48 peratus, iaitu hampir separuh rakyat Kelantan yang layak divaksinkan.

Beliau difahamkan juga kira-kira 20 peratus daripada jumlah rakyat Kelantan berada di perantauan, di mana kebanyakan mendapat vaksin di tempat mereka bekerja termasuk di Lembah Klang. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -