Tuan Ibrahim, Mustapa bincang projek pembangunan untuk Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

“Alhamdulillah, berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, banyak perkara yang dibincangkan antaranya persiapan negara menjelang UN Climate Change Conference (COP26) di Glasgow, November ini dan projek pembangunan untuk negeri Kelantan.

“Insya-Allah, kami komited untuk merealisasikan perancangan tersebut untuk memacu agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau di Malaysia. Doakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Pada sebelah petang pula, beliau menerima kunjungan hormat delegasi Malaysian Timber Council (MTC-KPPK) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Muhtar Suhaili.

Katanya, kunjungan itu amat bermakna dalam membincangkan kerjasama strategik ke arah melestarikan industri perkayuan di Malaysia.

“Saya turut mengalu-alukan komitmen MTC dalam melancarkan kempen kelestarian hutan,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap semoga semua pihak dapat memainkan peranan yang kuat untuk bersama memelihara khazanah dan keseimbangan alam kurniaan Tuhan. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -