Pergolakan PKR: Mampukah PH kekal di Negeri Sembilan?

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Masalah dalaman PKR Negeri Sembilan memberi gambaran kerajaan PH negeri itu berkemungkinan tidak dapat dipertahankan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafaie Mustapha, walaupun kerajaan negeri sama akan terus menerajui Negeri Sembilan sehingga akhir penggal, namun dalam PRU-15, tidak mungkin dapat dipertahankan.

- Advertisement -

Katanya, perebutan kuasa antara parti dalam komponen PH juga memperlihatkan sikap rakus kuasa pembangkang di peringkat persekutuan.

Tindakan itu, tidak mustahil akan membawa kepada pergolakan berterusan sehingga melibatkan pemimpin mereka pula, katanya.

“Kejatuhan kerajaan PN di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerlahkan sikap sebenar pimpinan PH yang bernafsu besar dan mengambil kesempatan untuk mengambil alih kerajaan kersekutuan.

“Walaupun hajat mereka tidak kesampaian, tetapi rakyat telah melihat apa yang tersirat dan tersurat.

“Mengesahkan rasa benci rakyat ekoran agenda anti Kebangsaan mereka sepanjang 22 bulan memerintah Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.

Bagaimanapun katanya, pergolakan itu tidak akan membawa kesan besar kepada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.

Namun begitu, ia menghantar mesej kepada rakyat Negeri Sembilan bahawa berlaku ketidakstabilan pentadbiran dalam PKR berpunca daripada perebutan kuasa.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan didominasi oleh kerusi DAP dengan 11 kerusi berbanding PKR hanya enam kerusi dan PAN hanya tiga kerusi.

Katanya lagi, rakyat kini sudah mual dengan isu pergeseran dan perebutan kuasa dalam kalangan pimpinan politik.

“Ketika Negeri Sembilan mula memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sepatutnya kerajaan Negeri Sembilan menyambutnya dengan gembira.

“Juga, mula mengambil langkah untuk melaksanakan program ekonomi yang telah tergendala dan terhalang sekian lama.

” Usaha baharu perlu diperkenalkan sebagai tanda prihatin kerajaan kepada kesusahan rakyat.

“Malangnya, apa yang berlaku ialah perebutan kuasa untuk mencari kepentingan kelompok dan peribadi.

“Tentulah ia mengecewakan rakyat yang mengharapkan sikap prihatin kerajaan serta kesungguhan dalam usaha membantu rakyat,” katanya. HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -