PSR: Kelulusan EIA dibatalkan ambil kira semua aspek

Foto Ihsan Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) mengambil kira semua aspek yang dikemukakan oleh pihak perayu dan responden.

- Advertisement -

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, rakyat berhak membuat bantahan kepada Lembaga Rayuan JAS di bawah Seksyen 36, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127].

“Bantahan tersebut telah didengari dan diadili oleh pihak Lembaga Rayuan.

“Saya yakin keputusan dibuat dengan mengambil kira semua aspek yang dikemukakan oleh pihak perayu dan responden,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya lagi, dalam merancang pembangunan, perkara paling penting ialah kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, keseimbangan alam sekitar harus dipelihara dengan sebaiknya.

Semalam, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan keputusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk pelaksanaan PSR.

Keputusan oleh tiga anggota Lembaga Rayuan JAS diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM). – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -