Usaha meluaskan inisiatif teknologi dan digital

- Advertisement -

SAYA telah menerima kunjungan daripada wakil Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) iaitu Encik Amiruddin bin Abdul Shukor, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Encik Andi Suswandi Shamsuddin, Pengurus Kanan Strategi dan Hubungan Kerajaan.

Terdapat beberapa perkara yang menjadi topik perbincangan serta perkongsian buah fikiran di dalam pertemuan ini. Antaranya ialah untuk mengenal pasti usahawan-usahawan teknologi Bumiputera untuk dibantu melalui program-program di bawah MaGIC.

- Advertisement -

Selain daripada itu, saya telah menyatakan hasrat untuk melihat daerah Kuala Terengganu menjadi peneraju di dalam aplikasi sains dan digital. Saya meminta agar fokus inisiatif teknologi dan aplikasi digital dilaksanakan di Pasar Payang. Untuk makluman, Pasar Payang II sedang dalam pembinaan dan selepas sahaja siap maka ianya akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara apabila rentas negeri dibenarkan dan pintu sempadan negara mula dibuka.

Kelak, kita mengharapkan agar urusan jual beli selain dari urus niaga secara tunai, akan dapat dilaksanakan secara urusniaga secara atas talian (online) yang akan memudahkan para pelancong membeli belah di sana kelak.

Begitu juga dengan hospital-hospital baru yang dibina serta di Institusi Pengajian Tinggi seperti di UNISZA. Selain dari perkara yang disebutkan tadi, banyak lagi perkara-perkara yang dibincangkan dengan pihak MaGIC demi kebaikan bersama.

Saya mengharapkan agar inisiatif-inisiatif di bawah MaGic ini dapat dilaksanakan dan dikembangkan lagi di Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu serta agensi di bawahnya iaitu TD1303. Peluang-peluang pendanaan bagi industri teknologi dan sains di bawah MaGic serta agensi-agensi pendanaan di bawah MOSTI harus diambil peluang oleh individu dan syarikat pemula (start up) di Terengganu.

DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1648702528579939/posts/4338890846227747/

- Advertisement -