Jalan yang satu

KITA dikurniakan akal untuk mengenal Allah. Dengannya kita memperakukan tauhid dan keesaan Allah. Kita dikurniakan hati untuk menuju Allah. Dengannya kita melihat Allah dan mendekati-Nya.

Kita dikurniakan lidah untuk sentiasa berzikir menyebut nama Allah yang baik dan sempurna. Dengannya kita membaca kitab-Nya, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya.

Kita dikurniakan anggota tubuh untuk mengabdikan diri dengan beribadah kepada Allah. Dengannya kita mendirikan solat dan melaksanakan segala amalan soleh.

Advertisement

Kita dikurniakan ahli keluarga, kerabat, jiran, rakan taulan dan masyarakat agar kita dapat melakukan kebajikan, kebaktian, amar makruf serta saling menyayangi sesama makhluk Allah. Kita dikurniakan kehidupan ini agar kita berlumba menjadi hamba abdi yang taat dan patuh kepada segala perintah Allah dan kehendak-Nya.

Akhirnya, kita nanti akan dikurniakan kehidupan akhirat agar kita menikmati kehidupan sebenar yang kekal. Di sana nanti, kita akan dibalas dan dihukumi dengan apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Akal, hati, lidah, anggota tubuh, nyawa dan kehidupan kita semuanya sudahpun ditetapkan tugasnya yang pasti. Tiada lagi jalan untuk memalingkannya ke kanan atau ke kiri. Perjalanan ini terang dan amat lurus jalannya. Justeru beriman dan beristiqamahlah kita menuju Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/177786515581027/posts/6856430694383209/