Sultan Kelantan seru rakyat dapatkan vaksin

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyeru rakyat di negeri itu yang belum divaksin supaya mendaftar dengan segera atau berbuat demikian secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri Kelantan. 

Setiausaha Sulit Kanan baginda, Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda berpendapat usaha itu perlu dilakukan supaya Kelantan berjaya mencapai imuniti kelompok suntikan vaksin 80 peratus menjelang 30 September ini sepertimana yang dirancang sebelum ini.

- Advertisement -

Menurutnya, baginda berasa amat dukacita Kelantan merupakan antara negeri yang terendah dalam peratusan penerima vaksin sekarang ini iaitu cuma sebanyak 50 peratus. 

“Baginda turut mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin. 

“Baginda berharap rakyat Kelantan supaya segera mendapatkan vaksin agar dapat melindungi diri dan anggota keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Titah baginda lagi, kata Shafriman, mengambil suntikan vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. 

Baginda juga turut memintaa agar rakyat  merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan  mencadangkan agar semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan outreach programme di seluruh pelosok negeri Kelantan terutama sekali di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman,” ujarnya lagi. 

Katanya, baginda turut berharap masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk terhadap vaksin berkenaan.

Sehubungan itu, baginda amat berharap rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya negeri itu tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok berbanding negeri-negeri lain di negara ini. 

“Baginda amat berharap seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit-pesakit lain tidak terjejas,” ujarnya.

Baginda juga menurut kenyataan tersebut, turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan, dan amat menghargai jasa petugas-petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit Covid-19 sejak tahun lepas. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -