‘Tulisan saya bukan dituju kepada Menteri Agama’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Akademik, Dr Supyan Hussin menegur sebuah portal berita kerana menyalahtafsir kenyataannya di Facebook pada Sabtu.

- Advertisement -

Beliau menganggap portal itu tidak mengamalkan etika kewartawanan secara profesional apabila menafsirkan tegurannya untuk ahli agama mengkaji semula vaksin, ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Idris Ahmad.

“Sebenarnya tulisan saya bukan ditujukan kepada Menteri Agama, tetapi dia tafsirkan begitu, tidak betul. Sebab portal itu seolah mahu memberi tekanan kepada Ustaz Idris.

“Olahan portal itu yang saya nafikan, itu isu pokoknya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut Dr Supyan, terdapat tiga perkara yang ingin dijelaskan semula behubung berita yang dilaporkan di portal berkenaan.

Pertama, jawatannya sebagai Profesor kini tidak lagi dapat digunakan memandangkan beliau sudah tidak bekerja di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Kedua, penulisan saya tidak ditujukan kepada Menteri Agama, tetapi portal itu lapor seolah tulisan itu untuk Menteri Agama, olahan berbaur politik itu salah.

“Saya hanya memberi saranan umum kepada ahli agama untuk mengkaji semula vaksin setelah sekian lama kita bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Menurutnya lagi, pandangan yang dipetik portal tersebut daripada Facebooknya tidak mendapat izinnya selain tiada sebarang pemaklumam dibuat.

Lebih mengecewakannya, pemberitaan pandangan beliau itu dijadikan sentimen politik kepartian oleh portal tersebut, katanya.

Ahad lalu, sebuah portal berita melaporkan bahawa Dr Supyan meminta ahli agama merujuk badan bebas dan tidak terikat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, dalam menentukan kedudukan vaksin sama ada ia halal atau tidak dengan tajuk ‘Selepas PAS menteri agama, profesor UKM minta kaji semula vaksin halal ke tidak’. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -