MAIK rakam terima kasih kepada kerajaan Kelantan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU –  Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah mengumumkan kenaikan kadar elaun kepada pegawai masjid mukim melibatkan imam tua, imam muda dan bilal.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kenaikan kadar elaun tersebut iaitu RM150 sebulan masing-masing untuk imam tua dan imam muda dan RM50 sebulan untuk bilal masjid mukim di seluruh Kelantan amat bertepatan kerana tugas pegawai masjid mukim lebih mencabar ketika musim pandemik Covid-19 ini.

- Advertisement -

“Dengan perkhabaran gembira kepada pegawai masjid mukim ini, ia dapat meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberi semangat kepada mereka untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Pihak MAIK menaruh keyakinan yang tinggi kepada pegawai masjid mukim agar mereka dapat memberikan perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan pemberian elaun tambahan kepada imam tua dan imam muda sebanyak RM150 dan bilal RM50.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob  dalam laporan sebelum ini  berkata, pembayaran elaun tambahan tersebut melibatkan 587 kategori masjid mukim ‘A’, besar dan kecil di seluruh Kelantan berkuatkuasa Julai 2021. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -