26 fakta penting Perang Ain Jalut

- Advertisement -

1. AIN JALUT merupakan peperangan bersejarah yang berlaku di antara umat Islam dan bangsa Mongol (Tatar). Dinamakan Ain Jalut bersempena lokasi berlakunya pertempuran tersebut di bumi Palestin. 

2. Umat Islam berjaya mengalahkan pasukan Mongol pada tanggal 25 Ramadhan 658H bersamaan 3 September 1260M.

- Advertisement -

3. Pasukan Islam dianggarkan berjumlah 20,000 hingga 50,000 tentera manakala pasukan Monggol sekitar 20,000 tentera.

4. Pasukan umat Islam diketuai oleh Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz yang bergerak dari Mesir menuju ke Ghaza, seterusnya ke Ain Jalut. Dan pasukan Mongol diketuai oleh Hulagu Khan. 

5. Qutuz mengangkat dirinya sebagai Sultan di Mesir untuk meredakan pertelingkahan yang berlanjutan dalam kalangan keluarga Ayyubiah. Seterusnya berjaya menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk bersatu melawan Mongol pada tanggal 24 Zulqaedah 657H, iaitu sehari sebelum Hulagu Khan tiba di Halab.

6. Tindakan pertama yang dilakukan oleh Qutuz adalah menyelesaikan krisis dalaman pentadbiran dan menyatukan seluruh umat Islam. 

7. Penyatuan umat Islam berjaya dibuat di atas nama jihad memerangi musuh sekali gus mengelakkan perebutan kuasa.

8. Dalam usaha menyatukan pemimpin Islam, Sultan Nasir Yusuf Ayyub pemerintah Halab dan Damsyik memilih untuk tidak bersama Qutuz sekalipun ditawarkan jawatan Raja Mesir dan Syam. 

9. Mesir dan Hijaz merupakan satu-satunya wilayah Islam yang terselamat dari serangan Mongol seterusnya menjadi benteng akhir memenangkan Islam.

10. Persiapan untuk berhadapan Mongol hanyalah selama 5 bulan sahaja iaitu bermula pada bulan Rabi`ul Awwal 658H hingga akhir bulan Rejab 658H. Berbeza dengan persiapan Mongol menyerang Kota Baghdad selama 4 tahun.

11. Pasukan Salib sejak kekalahan dalam Peperangan Mansurah (648H) menjadi semakin lemah terutama di wilayah Aka (Palestin hari ini). Umat Islam masih gagal untuk merampas wilayah ini sejak tahun 492H termasuklah pada era Salahuddin Al Ayyubi.

12. Kesepakatan Genjatan Senjata berjaya dicapai di antara Islam dan Salibiah Aka untuk tidak menyerang antara satu sama lain ketika Islam berhadapan Mongol.

13. Bahkan kesepakatan juga dicapai untuk umat Islam menjual kuda-kuda rampasan Mongol dengan harga yang rendah, dan pasukan Salibiah Aka bersetuju menyiapkan bekalan makanan untuk tentera Islam yang akan berperang dengan Mongol.

14. Pergerakan tentera Islam dari tiga wilayah iaitu Iskandariah, Dumyat (Damieta) dan Kaherah menuju Palestin bermula pada Julai 1260M bersamaan awal Syaaban 658H dan berkumpul di Salihiah (terletak di Wilayah Syarqiyah).

15. 26 Julai 1260M tercetusnya peperangan pertama umat Islam membebaskan bumi Ghaza yang diketuai oleh Panglima Kanan Ruknuddin Baybars.

16. Kemenangan pertama di Ghaza menjadi pemangkin semangat umat Islam untuk tidak lagi mempercayai mitos bahawa Mongol adalah bangsa tidak terkalah! 

17. Untuk sampai ke Ain Jalut, Qutuz melalui wilayah Asqalan, Hifa dan seterusnya Aka. Dengan kekuatan umat Islam yang besar, sangat mampu untuk menawan kembali wilayah Aka, tetapi Qutuz mengotakan janjinya melalui kesepakatan yang dibuat untuk tidak mengkhianati perjanjian tersebut.

18. Kawasan Ain Jalut terletak kira-kira 65km sahaja daripada kawasan Hittin yang merupakan medan pertempuran pada era Salahuddin Al Ayyubi menentang pasukan Salib pada tahun 583H, dan kira-kira 60km sahaja daripada kawasan pertempuran peperangan Yarmuk di era Khalid Al Walid menentang pasukan Rom. 

19. Peperangan Ain Jalut bermula pada tanggal 24 Ramadhan 658H bersamaan 2 September 1260M.

20. Dikatakan bahawa di antara faktor penting kemenangan umat Islam adalah kerana jasa pengintip Islam iaitu Sorimuddin Aibak yang memberikan informasi seluruh kekuatan tentera Hulagu Khan. Sorimudin ditawan dalam satu peperangan di Syam kemudian berkhidmat bersama Hulagu Khan dalam beberapa siri peperangan.

21. Kesilapan utama Hulagu Khan adalah kerana memandang rendah kemampuan pasukan Islam menyebabkan beliau mengerahkan seluruh pasukannya sekali gus untuk bertempur, sedangkan Qutuz menyusun bala tenteranya secara berperingkat.

22. Slogan Wa Islamah (Demi Islam) dilaungkan oleh Qutuz apabila melihat sebahagian pasukan Islam mula melemah. Beliau turun dari kudanya dan turut bertempur.

23. Kekalahan Mongol berakhir di Baisan (kira-kira 20km dari Timur Ain Jalut) setelah pasukan Islam mengejar tentera Mongol yang cuba melarikan diri. 

24. Ain Jalut menjadi medan kemenangan Islam selepas 40 tahun sejak Mongol mula menyerang wilayah Islam pada tahun 618H.

25. Selepas kemenangan Ain Jalut, pasukan Islam terus bergerak menuju ke Syam (Halab, Homs dan beberapa wilayah lagi) untuk membebaskan dan menghalau saki baki tentera Mongol yang masih ada di sana.

26. Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz hanya kekal memerintah selama setahun (11 bulan 17 hari sahaja) sebelum dibunuh dan diganti oleh Raja Zahir Baybars Al Bunduqdari.

Post script: Catatan santai sempena memperingati tarikh peristiwa Ain Jalut.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 6/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226298313183886/

- Advertisement -