Rakyat dijemput berkongsi idea Bajet 2022

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:Selaras agar Bajet 2022 telus kepada pengetahuan rakyat, Kementerian Kewangan (MoF) menjemput orang ramai untuk berkongsi idea mereka bagi penyediaan bajet tersebut. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sebagai salah satu usaha menambahbaik ketelusan dan keterangkuman dalam proses penyediaan bajet tahunan berkenaan, MoF telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan baru-baru ini.

“Sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022,” katanya.

Empat KKA tersebut ialah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/ Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera; Penambahbaikan Program Bantuan Tunai; Kajian Insentif Cukai; dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

Kertas pertama akan menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/ perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera.

“Ini antara lainnya adalah bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” ujarnya.

Menurut Tengku Zafrul, Penambahbaikan Program Bantuan Tunai bermatlamat untuk  mengenalpasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan Covid-19.

Tambahnya, Kajian Insentif Cukai yang merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh adalah bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan. 

“Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul, Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA) pula bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

“MoF yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara,” ujarnya.

Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected]. KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my selewat-lewatnya pada jam 5 petang, 15 September 2021. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -