DUN P. Pinang panas dibidas wakil PAS isu PSR

PSR
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) akan membawa peluang kemusnahan di sebalik peluang pekerjaan yang dibanggakan oleh pihak Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) menegaskan pendiriannya tetap membantah projek tersebut dan berdiri bersama Persatuan dan Unit Nelayan serta para nelayan yang menolak projek itu.

- Advertisement -

Malah katanya, laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan lain-lain jelas mengatakan PSR akan merosakkan alam sekitar.

“Kerajaan negeri perlu mendengar bantahan nelayan terhadap kelulusan EIA oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar diputuskan oleh panel lembaga rayuan alam sekitar pada 6 sehingga 9 September 2021,” ujarnya berucap dalam Sidang DUN Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau turut menyuarakan bantahan terhadap kerja-kerja projek tambakan laut Seri Tanjung Pinang 2 (STP 2) di Daerah Timur Laut negeri ini yang sedang berjalan dan masih diteruskan walaupun dibantah.

Ucapan Mohd Yusni ini ternyata membuatkan ahli dewan dalam kalangan pihak kerajaan tidak senang duduk apabila seorang demi seorang bangkit mencelah dan mempertikaikan beliau.

Tegas beliau lagi, ekosistem dan juga tempat ataupun sumber nelayan-nelayan untuk mendapatkan hasil tangkapan mereka atau rezeki mereka boleh musnah akibat daripada projek tersebut.

“Bukan hanya seorang dua yang bantah, bahkan bukan Timbalan Menteri, (tetapi) banyak NGO-NGO, agensi bahkan semua orang, termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh juga mempersoalkan projek PSR ini, bahkan dimasukkan dalam page Ahli Parlimen Permatang Pauh. 

“Jadi boleh rujuk kalau page itu ataupun kalau isu yang dibangkitkan itu tidak dipadamkan. Jadi dalam soal ini, bukan isu perkauman, sebab NGO-NGO yang bantah juga bukan hanya satu kaum, bahkan melibatkan pelbagai kaum. Jadi kita meraikan.

“Kalau projek di Kedah sebagai contoh negara jiran yang nak membangunkan ataupun projek lapangan terbang antarabangsa Kulim itu pun kita bimbang boleh menjejaskan air Sungai Muda, apatah lagi projek ini dalam negeri kita, Negeri Pulau Pinang,” bidasnya.  – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -