Cabaran, hala tuju Menteri Idris Ahmad

Idris melihat pelantikannya buat pertama kali sebagai menteri sebagai cabaran yang perlu ditempuhi berbekalkan usaha dengan bersungguh-sungguh demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.
- Advertisement -

ANAK jati Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Perak ini tidak pernah bercita-cita atau menduga beliau akan dilantik sebagai seorang menteri. 

Justeru Senator Tuan Haji Idris Ahmad, 58, melihat pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah kabinet Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob itu sebagai suatu tanggungjawab besar yang telah diserahkan kepada beliau.

- Advertisement -

Bekas pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula berjinak-jinak dalam politik dengan menyertai parti itu dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda PAS.

Beliau banyak diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan dalam PAS termasuk Naib Ketua Pemuda PAS pada 2001, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selama beberapa penggal, Ketua Penerangan PAS (penggal 2009/2011) dan kini sebagai naib presiden parti. 

Akhirnya selepas pada tahun lepas dilantik sebagai Senator bagi penggal bermula 16 Jun hingga 15 Jun 2023, beliau kini diberikan kepercayaan untuk menggalas jawatan Menteri di kementerian tersebut menggantikan mantan Datuk Dr Zulkifli Mohamad a-Bakri

Ketika ditemui kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, SYAHIRAH SALLEH dan KAIROL ZULHAIDI pada hari pertama memulakan tugas di pejabatnya di Putrajaya, semalam 1 September 2021, Idris yang ditemani Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, ternyata begitu bersemangat dalam membawa hala tuju masa depan kementerian di bawah kendaliannya itu. Ikuti sedutan temu bual bersama beliau.

Apakah perasaan Senator ketika mendapat perkhabaran mengenai pelantikan sebagai Menteri baharu di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam barisan kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob?

Senator Idris Ahmad:Perasaan saya adalah lebih kepada rasa tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh parti  (PAS) dan Perdana Menteri untuk diberikan amanah mengetuai kementerian bahagian hal ehwal agama Islam di Jabatan Perdana Menteri. Jawatan ini bukan sesuatu yang saya idamkan atau bercita-cita tetapi ia lebih kepada tanggungjawab yang diberikan. Insya-Allah tanggungjawab itu akan dilaksanakan dengan bantuan Timbalan saya, (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) yang sudah banyak pengalaman di kementerian ini. 

Justeru, apakah hala tuju yang akan dibawakan Senator dalam mengemudi kementerian ini?

Halatujunya adalah kita bawakan satu naratif yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri iaitu Keluarga Malaysia. Saya akan mengemudi 14 agensi di bawah kementerian ini untuk kita halakan pengisian dari segi aspek Islam. Kalau kita sedar bahawa pembangunan sebuah negara itu, ia tidak akan baik tanpa kita terlebih dahulu bina asas kepada kekeluargaan. Cuma yang penting dari segi pengisiannya, kita mesti isikan dari segi aspek keislaman. Ini kerana apabila keluarga dan masyarakatnya baik, maka insya-Allah negara juga akan jadi baik. Selain itu, kita berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat yang mengalami kesempitan hidup dalam era wabak Covid-19 sekarang ini. Insya-Allah, melalui agensi-agensi di bawah kementerian ini,  kita akan teruskan program seperti Tabung Musa’adah Covid-19 dan bakul makanan sebagai ikhtiar untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri telah menekankan budaya kerja berprestasi tinggi, yang mana setiap kementerian diberi tempoh 100 hari pertama untuk membuktikan pencapaian pada peringkat awal, jadi bagaimana Senator melihat akan cabaran tersebut untuk kementerian Senator?

Ia merupakan petunjuk prestasi utama ( KPI) yang diukur kepada untuk semua menteri kabinet dan ia adalah satu perkara yang agak baik serta merupakan suatu hambatan kepada jemaah kabinet  untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat agar mereka berpuas hati ketika mereka mengharungi kesempitan hidup disebabkan keadaan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19. Maka, jemaah kabinet di bawah Perdana Menteri kali ini perlu terdiri daripada mereka yang menunjukkan hasil yang memberangsangkan untuk rakyat. Sehubungan itu, saya akan mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 agensi di bawah kementerian ini sebagai usaha bagi mencapai KPI 100 hari tersebut. Maknanya tiada honeymoon, semua pekerja perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai KPI tersebut.

Bagaimana pula dari segi perancangannya?

Perancangannya itu nanti kita akan bincangkan dengan agensi-agensi terbabit. Perancangan tersebut sebenarnya sudah dibuat. Ada yang berkaitan dengan pendidikan, kekeluargaan, undang-undang, kebajikan, ekonomi dan sebagainya. 

Ahmad Marzuk kini berganding bersama Idris sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Boleh Senator komen tentang status pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 sekarang ini? 

Perkara itu akan diteruskan dan prosesnya kini sedang berjalan. Ia telah dilaksanakan sebelum ini oleh mantan Menteri di kementerian ini, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Ahmad Marzuk sebagai Timbalannya dan ada langkah-langkah yang telah diambil bagi merealisasikannya. (Jawapan kepada soalan itu kemudian disambung oleh Ahmad Marzuk bagi pihak Idris). Pada mesyuarat penggal ke-4 sidang parlimen ke-14, isu berkenaan RUU 355 telah dibincangkan dan ia kini masih menunggu kelulusan dasar kabinet untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, sebelum dibawa kembali kepada sidang Parlimen yang akan datang.Insya-Allah bila dah selesai semua tertib prosedur tersebut, kita akan umumkan tarikhnya.Cuma draf awal RUU 355 sudah melepasi semakan Pejabat Peguam Negara. Apa pun, kita kena tunggu kelulusan dasar kabinet. HARAKAHDAILY 2/9/2021 >>> Ikuti laporan eksklusif lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran Isnin 6 September 2021<<<

- Advertisement -