Jangan cepat menghukum, beri peluang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS mengucapkan tahniah atas pelantikan barisan Kabinet, dan mendukung penuh kerajaan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri selaras dengan pendirian rasmi PAS Pusat.

Pemuda PAS berpendapat adalah tidak sewajarnya serangan dan tohmahan seperti kerajaan ‘recycle’ dilemparkan di kala kerajaan hari ini baru seminggu memerintah.

- Advertisement -

Tidaklah dinafikan, banyak muka-muka lama ditampilkan semula, namun menyedari situasi dan kedudukan Perdana Menteri pada hari ini, perlulah disedari bahawa tidak banyak perubahan yang boleh dibuat dalam hasrat bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.

Pembangkang sering melaungkan perpaduan dan hentikan sebarang permainan politik, namun dalam masa yang sama mereka yang bermain politik. Mereka menyatakan sokongan dan perpaduan semasa berjumpa YAB Perdana Menteri, tetapi kembali menyerang YAB Perdana Menteri apabila calon ‘kesukaan’ mereka tidak dibariskan dalam barisan Kabinet semalam.

Sewajarnya pembangkang memberikan ruang kepada kerajaan hari ini membuktikan kemampuan mereka. YAB Perdana Menteri telah berjanji untuk membuktikan kemampuan dalam 100 hari awal pentadbiran. Beri-kan masa untuk kerajaan, bukan terus menghentam seawal pembentukan Kabinet. Tindakan menghentam secara pramatang ini amat tidak profesional.

Jika kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘recycle’, mungkin Pakatan Harapan juga boleh bermuhasabah kerana memiliki calon Perdana Menteri ‘recycle‘ sejak lama. Lebih baik mereka bermuhasabah berhubung calon Perdana Menteri mereka berbanding bercerita mengenai kerajaan. Kita akui, Kabinet ini mungkin tidak sempurna, namun itulah yang terbaik buat masa sekarang.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 28/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/225685927482720/posts/4716323371752264/?sfnsn=mo

- Advertisement -